Bola Sepak

Liga M 2022 : Nafuzi enggan episod sama berulang


 

Nafuzi mengakui banyak benda yang boleh dipelajari pada aksi musim lepas.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PRESTASI menyakinkan dan memberangsangkan dipamerkan pada awal musim lalu sebelum bergelut pada penghujung musim untuk berada di tangga keempat Liga Super 2021 memberikan pengajaran bermakna buat Terengganu FC.

Lantas Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain tidak menolak banyak pengajaran yang telah diambil untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

“Banyak benda kita boleh belajar daripada apa yang dah berlaku musim lepas, sebab kita mula dengan baik sehinggalah beberapa perlawanan terakhir, kita tewas.

“Itu yang kita tidak mahu perkara sama berulang dan kena perbaiki apa yang patut untuk berada di prestasi lebih cemerlang.

“Kalau cakap pasal sasaran, saya hanya inginkan pasukan dapat berada di kedudukan yang lagi baik daripada musim lepas, itu sahaja”, tegasnya.

Mengulas deretan pemain import khususnya jentera serangan yang dimiliki musim ini, Nafuzi percaya dengan tiga pilihan yang ada di bahagian serangan membabitkan penyerang import akan memberi kelebihan untuk membantu pasukan pada musim ini.

“Kita boleh nampak bagaimana Terengganu telah menambahbaik kualiti pasukan terutamanya di bahagian serangan di mana kita ada tiga pemain ini (Mintah, Kipre, Sherman) dan saya memang berharap kombinasi mereka dapat memberi impak kepada pasukan.

“Mengenai persaingan antara mereka, saya ingin tegaskan kita akan ada musim yang panjang, jadi apa sahaja boleh berlaku dan saya teruja apabila kita akan sentiasa ada pemain yang bersedia untuk diturunkan dan pilihan yang lebih luas kali ini.

“Kita akan tengok daripada segi keperluan, cara bermain daripada mereka dan semestinya masing-masing akan ada peluang mereka sendiri untuk beraksi berdasarkan prestasi semasa nanti”, jelasnya.

Dengan kehadiran Tchetche Kipre dan Kpah Sherman dari Kedah Darul Aman FC ke Terengganu menyaksikan Nafuzi mempunyai pilihan yang lebih luas selain Jordan Mintah untuk memperkuatkan jentera serangan kali ini.

Selain Sherman dan Kipre, Terengganu turut mengikat tiga pemain import baharu yang lain iaitu Pape Diakite, Luke Woodland serta bekas pemain Melaka United, Manuel Ott.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: