
PEMAIN import dari Filipina, Manuel Gelito Ott yang beraksi bersama Melaka United FC musim lalu melengkapkan senarai pemain import skuad Terengganu FC pada musim 2022.
Mengikat kontrak selama satu tahun, Manuel Ott antara tonggak utama MUFC musim lepas dengan beraksi hampir keseluruhan permainan berjaya memainkan peranan penting sehingga membawa pasukan Melaka United ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.
Kehadirannya bersama keluarga TFC akan mengisi kuota pemain Asean yang ditinggalkan Carli De Murga dalam pasukan Terengganu FC pada musim 2022.
Sebelum ini TFC Sdn Bhd sudah mengikat tujuh ‘pemain import iaitu Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast), Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana), Pape Diakite (Senegal), Habib Haroon (Bahrain) selain Woodland.
Sementara itu Ott yang pernah beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Pol dalam Liga Thailand pada 2019 berkata, corak permainan yang diterapkan barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain menarik minatnya untuk mewakili skuad Penyu itu.
Selain itu kehadiran rakan sepasukannya, Woodland dalam pasukan itu turut menarik perhatiannya untuk memilih TFC sebagai destinasinya musim ini.
“Saya akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama pasukan bagi memastikan misi dan sasaran pasukan tercapai,” katanya.





Add Comment