Oleh : SUBKHI SUDARJI
GELARAN ‘Raja Bolasepak ASEAN’ menjadi milik Thailand selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2 selepas berakhirnya finał kedua yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura.
Menang bergaya 4-0 pada aksi pertama Rabu lalu, Thailand ternyata tidak berdepan masalah untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2 pada aksi final kedua sebentar tadi.
Kemenangan yang diraih Gajah Perang malam ini memastikan mereka merangkul gelaran buat kali keenam Piala AFF yang kini memasuki edisi ke-13 penganjurannya manakala Indonesia terus hampa untuk bergelar juara selepas enam kali beraksi di pentas final.
Ketinggalan empat gol pada aksi final pertama tidak melunturkan semangat Sang Garuda apabila bermain secara agresif sebaik sahaja wisel perlawanan ditiupkan pengadil.
Usaha agresif pada awal permainan yang dijelmakan anak didik Shin Tae-yong akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan dari luar kotak penalti Ricky Kambuaya pada minit ke-7 gagal ditangkap kemas penjaga gawang Thailand, Siwarak Tedsungnoen untuk gol pertama Indonesia.
Jaringan tersebut nyata menyedarkan pemain Thailand apabila mereka mula mendapat rentak dan mendapat peluang menerusi Teerasil Dangda belang seminit kemudian namun percubaan penjaring gol terbanyak Thailand ketika ini itu berjaya dinafikan Nadeo Argawinata.
Walaupun Indonesia cuba mengasak memburu gol kedua namun keputusan 1-0 kekalahan sehinggalah kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan untuk tempoh 45 minit babak pertama.
Memasuki babak kedua, Thailand mula mempamerkan aksi sebenar apabila berjaya memperolehi dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Adisak Kraisorn pada minit ke-54 dan Sarach Yooyen (m-56).
Indonesia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret Egy Maulana pada minit ke-80 untuk menewaskan Siwarak buat kali kedua namun jaringan berkenaan tidak cukup untuk menghalang Thailand bergelar juara Piala AFF 2020.
Untuk rekod, Thailand telah bergelar juara Piala AFF pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016 manakala Indonesia terus mencatatkan nama selaku naib juara pada 2000,2002,2004, 2010 dan 2016.








Add Comment