Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Sang Garuda ‘lunyai’ dipijak Gajah Perang


Chanathip meledak dua gol membantu kemenangan Thailand, 4-0 mengatasi Indonesia.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

MESSI Thailand, Chanathip Songkrasin memastikan pasukannya menghampiri gelaran kejuaraan Piala AFF buat kali keenam apabila menjaringkan dua gol membantu kemenangan 4-0 mengatasi Indonesia pada final pertama di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Gol pada setiap babak diawal permainan dihasilkan Chanathip yang juga ketua pasukan dan satu  gol menerusi Supachok Sarachart serta Bordin Phala memastikan Gajah Perang berada dalam kedudukan yang selesa untuk aksi timbal balik, Sabtu ini.

Juara Piala AFF 2016 itu tidak menunggu lama untuk berada didepan apabila berjaya mendahului Indonesia menerusi jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ke-2 selepas mendapat umpanan dari Philip Poller untuk menewaskan Nadeo Argawinata.

Selang 12 minit kemudian gawang Indonesia hampir sekali lagi dibolosi menerusi rembatan menarik Yusef Elias Dolah namun Nadeo bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Rentak permainan Indonesia bagi tempoh 20 minit pertama nyata berbeza apabila sering ditekan oleh Thailand yang dilihat selesa mendominasikan perlawanan.

Penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda seharusnya mampu meletakkan pasukan dihadapan namun tolakannya ketika hanya berdepan Nadeo jauh melangkaui palang gol.

Indonesia memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-40 namun sepakan Alfeandra Dewangga gagal menemui gawang gol Thailand yang dikawal Siwarak Tedsungnoen.

Nadeo sekali lagi menyelamatkan gawang apabila berjaya menepis percubaan berbahaya Bordin Phala dipenghujung babak pertama sebelum kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol memihak Thailand.

Memasuki babak kedua, Chanathip sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring kedua peribadi dan pasukan apabila meledak gol menerusi serangan balas pada minit ke-52 yang gagal dinafikan Nadeo.

Ketinggalan dua jaringan tidak melemahkan semangat pemain Indonesia dan mereka hampir berjaya menjaringkan gol menerusi serangan balas namun percubaan Irfan Jaya pada minit ke-61 gagal menewaskan Siwarak.

Gajah Perang terus melebarkan jaringan gol apabila pemain tengahnya, Supachok Sarachart tenang melakukan rembatan dari luar kotal penalti untuk menewaskan Nadeo buat kali ketiga pada minit ke-67.

Tidak cukup dengan tiga gol, Thailand terus bernafsu untuk menambah jaringan dan kali ini giliran Bordin Phala mencetak nama selaku penjaring gol keempat pada minit ke-83 dan keputusan berkenaan kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: