Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Thailand tunjukkan jalan keluar buat Vietnam


Oleh : SUBKHI SUDARJI

JUARA bertahan, Vietnam akhirnya ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Piala AFF 2020 apabila tewas 0-2 dengan agregat ditangan Thailand dalam aksi timbal balik separuh akhir.

Terdahulu, Vietnam yang sebelum ini dianggap raja bolasepak Asean tewas 0-2 pada aksi pertama hanya mampu seri tanpa jaringan pada aksi kedua sebentar tadi.

Keputusan seri tanpa jaringan ini memastikan Thailand yang juga juara lima kali mara ke final dan akan merebut kejuaraan dengan Indonesia yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas membenam cabaran Singapura 5-3 secara agregat, semalam.

Pada aksi sebentar tadi, Vietnam memaksa Thailand untuk lebih banyak bertahan pada babak pertama dan memberi amaran awal menerusi percubaan Nguyen Quang Hai seawal minit ketiga yang tepat ke dakapan penjaga gawang Thailand, Chatchai Budprom.

Tindakan Chatchai yang keluar dari posisi untuk mengagalkan percubaan lawan mengundang padah apabila dia mengalami kecederaan sekali gus terpaksa digantikan dengan Siwarak Tedsungnoen pada minit ke-31.

Pertahanan kental yang dipamerkan Thailand menyebabkan Vietnam terus buntu untuk menjaringkan gol sehinggalah tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, Vietnam terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol yang dinantikan namun buntu sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan skuad bimbingan Alexander Polking melangkah ke final buat kali kesembilan.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d