Bola Sepak

Syafiq kembali ke Kedah kerana TMJ


Oleh: AMMAR HAZIQ

HARAPAN penyokong Hijau Kuning mahu penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad kembali ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi kenyataan pada musim 2022.

Perkara tersebut dikongsi menerusi laman Facebook rasmi KDA FC yang memuatkan video ‘Our boy is coming home, welcome back! yang merujuk kepada kepulangan semula Syafiq ke Darul Aman.

“KDA FC dengan ini mengumumkan pemain tempatan baharu untuk musim 2022, Muhammad Syafiq Ahmad. Pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang ini merupakan watak yang cukup dikenali oleh peminat bolasepak di Kedah dan Malaysia.

“Mula mencipta nama diperingkat remaja bersama SMK Tunku Anum, beliau mula mencuri perhatian selepas diserap masuk ke skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada musim 2013 dan antara pemain muda berusia 18 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad utama Kedah,” jelas satu kenyataan pada Ahad malam.

Pengalaman Syafiq ketika bersama pasukan selatan tanah air itu cukup besar selepas menjuarai piala beberapa kejohanan tempatan dan turut beraksi di saingan AFC Champions League.

“Selepas 4 tahun bersama JDT FC, musim 2022 Syafiq dipinjamkan kepada KDA FC dan kepulangan beliau bukan hanya memberi suntikan positif di bahagian serangan malah turut mendapat sambutan hebat oleh semua penyokong Hijau Kuning.

“Usaha membawa pulang Syafiq Ahmad ke pangkuan KDA FC adalah mustahil tanpa perkenan pemilik JDT FC, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membenarkan Syafiq dipinjamkan selama setahun kepada pasukan KDA FC.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Tunku Mahkota Johor bagi merealisasikan hasrat pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad,” tambah kenyataan tersebut.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: