
Oleh: AMMAR HAZIQ
NAIB presiden Persekutuan Bola sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan secara peribadi telah menghubungi Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Khiev Sameth dan Setiausaha Agungnya, Winston Lee meminta menyemak kembali keputusan pengadil pada aksi pertama separuh akhir Piala AFF 2020 di antara Vietnam dan Thailand pada Khamis.
Panggilan tersebut telah dilakukan Quoc Tuan pada Jumaat yang menyatakan bahawa keputusan yang dilakukan oleh pengadil utama dari Qatar, Saoud Ali Al-Adba, terlepas banyak situasi yang mungkin berkesudahan dengan kad merah kepada pemain kedua-dua pasukan.
Memetik laporan VNExpress, Tuan dilaporkan berkata, pengadil dalam kejohanan tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan dan melakukan banyak kesilapan sehingga menjejaskan keputusan perlawanan.
Menurutnya, Saoud Ali tidak mengendahkan pelanggaran yang jelas apabila pemain Thailand, Teerathon Bunmathan telah menyiku Nguyen Quang Hai di muka.

Pengadil itu juga sekadar memberikan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom kad kuning dan bukannya merah selepas keluar dari kotak mengasari Nguyen Van Toan dan turut secara langsung menghalangnya untuk menjaringkan gol.
Kapten Vietnam Que Ngoc Hai, juga menendang bola berulang kali ke muka Supachok Sarachat ketika dia berada di tanah dan pengadil sekali lagi terlepas situasi tersebut.
Walaupun keputusan permainan Vietnam tewas 2-0 kepada Thailand tidak boleh diubah setelah tamat perlawanan namun sebarang perbincangan hanya akan membuatkan penganjur memberi perhatian lebih kepada pengadilan dan mempertimbangkan penyelesaian sebelum perlawanan kedua separuh akhir dan perlawanan akhir Piala AFF 2020 berlangsung.
VFF turut menggesa agar AFF turut menggunakan tayangan semula video (teknologi VAR) dalam kejohanan akan datang bagi memastikan dapat mengurangkan kejadian yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati pihak yang bertanding.
Terdahulu, Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo meminta pengadil terbabit menyemak semula video permainan jika dia mempunyai masa untuk berbuat demikian.
Add Comment