Bola Sepak

HKFC, KDA FC jalin kerjasama lahirkan bakat baharu


Muhamad Talhah (kanan) bersama Khamal Idris pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Kedah Darul Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat. Foto: AMMAR HAZIQ

Oleh: AMMAR HAZIQ

SYARIKAT Rimbun Emas Defense System Sdn Bhd (REDS Defence) menerusi Akademi Hijau Kuning FC (HKFC) menterai satu Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Kedah Darul Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat.

Usaha sama itu bertujuan melahirkan bakat-bakat muda yang berbakat dari seluruh negeri jelapang padi termasuk pemain-pemain yang terlepas pandang.

Pengarah Urusan REDS Defence, Muhamad Talhah Zainol berkata, akademi tersebut yang sebelum ini telahpun menjalinkan kerjasama dengan pasukan di La Liga Sepanyol akan turut membawa idea-idea baharu untuk dipraktikkan dalam proses pembangunan pemain muda di negeri Kedah.

“Kita mahu ‘coach’ (yang dihantar ke La Liga Sepanyol) belajar cara mereka, (supaya) suatu hari, kita boleh hantar pemain ke sana untuk pendedahan, kerana banyak kelab yang baik di sana.

“Sasaran kita juga sebenarnya bukan hanya berkisar kepada bola sepak, kita mahu pemain yang masuk akademi ini bukan sahaja berjaya dalam sukan bolasepak, malah boleh menjadi seorang insan yang boleh ‘survive’ pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDA FC, pada Jumaat.

Muhamad Talhah yang juga Presiden Hijau Kuning FC berkata, akademi tersebut akan dibantu oleh bekas pemain bola sepak Kedah seperti Fisol Abd Razak dan pemain-pemain skuad 2000 dalam mencungkil lebih ramai bakat muda dengan bantuan KDA FC.

“Di akademi ini juga, melalui pengalaman abang-abang (jurulatih), mereka akan lebih teratur dari segi pengurusan dan lebih berjaya pada masa akan datang.

Sebahagian daripada pemain-pemain muda Hijau Kuning FC. Foto: HKFC

“Kami juga sedang menjalinkan rundingan bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menjadikan institusi pendidikan itu sebagai lokasi utama latihan berikutan fasiliti lengkap yang ada disitu.

“Kerjasama itu juga bukan sahaja memfokuskan aspek melibatkan bolasepak tapi juga melibatkan pemantapan akademik di mana pemain-pemain ini berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti sekiranya layak dan mencapai syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDAFC, Khamal Idris Ali berkata, penubuhan akademi tersebut Hijau diharapkan dapat menggilap bakat-bakat muda bola sepak di negeriKedah.

Menurutnya, akademi berkenaan juga akan dapat membantu menghasilkan pemain berkualiti dan percaya mampu menjadi antara pengeluar pemain berbakat di Malaysia dan juga luar negara.

“Melalui MoU ini, KDA FC memainkan peranan dan fungsi untuk membantu Reds Defence memastikan urus tadbir dan pengurusan akademi bolasepak remaja swasta melalui sokongan nasihat dan rundingan dari sumber perunding yang berpengalaman,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: