Bola Sepak

Solidariti kelab bola sepak kepada mangsa banjir


Oleh: JJFIRDAUS

BENCANA banjir yang menimpa beberapa negeri terutama Selangor mendapat perhatian beberapa kelab bola sepak tempatan yang memuat naik hantaran doa dan harapan kepada mangsa yang terlibat bermula semalam (Sabtu) di laman sosial rasmi kelab.

Tidak cukup dengan laman sosial rasmi kelab tempatan, beberapa portal sukan dari Indonesia juga memuat naik hantaran doa tanda solidariti walaupun kedua-dua negara bakal membuat perhitungan dalam Derbi Nusantara malam ini.

Turut melahirkan rasa dukacita atas musibah yang melanda ini adalah pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) yang merakamkan salam takziah kepada mangsa bencana banjir di seluruh negara.

Keadaan Stadium Shah Alam yang tergenang banjir juga menjadi perhatian portal-portal sukan tempatan dan serantau di mana rata-rata bersimpati dengan musibah yang melanda dan berharap segalanya akan kembali seperti sedia kala.

Beberapa pengusaha padang persendirian juga turut membatalkan tempahan dan membuat pemulangan wang kepada mereka yang sudah menempah ekoran terjejas akibat banjir.

Sebahagian gambar keadaan banjir di Shah Alam yang dikongsi di media sosial sejak semalam.

Ada beberapa gerakan di media sosial juga menganjurkan agar pusat-pusat sukan seperti pusat latihan milik beberapa kelab dibuka sebagai pusat perlindungan sementara kepada mereka yang terperangkap dan memerlukan bantuan.

Selain kelab, pemain-pemain kelab tempatan juga dilihat mengulang hantaran-hantaran yang dilakukan oleh media sosial kelab sebagai tanda simpati dan berharap agar mangsa tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Jelas disini, bencana mampu menyatukan manusia kerana sifat survivaliti yang mendorong kita untuk saling mengambil berat tentang kesusahan yang dialami mangsa.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading