Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Harimau Malaya mampu hadapi tekanan – Dr Pekan


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGANALISIS sukan tempatan, Dr Pekan Ramli yakin barisan pemain Harimau Malaya mampu mengatasi tekanan pada aksi getir menentang Indonesia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Piala AFF 2020, malam ini.

Tegasnya, menaiki kereta perisai Barracuda pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, pada 2019 lalu memberikan pengalaman untuk berdepan dengan tekanan.

“Kadang-kadang kita lihat sebenarnya tidaklah sehebat mana pun kedua-dua pasukan ini, namun ianya sering di plotkan macam satu peperangan yang akan berlaku walhal ianya hanya ibarat lebih sudu dari kuah sahaja.

“Namun bagi segelintir peminat ianya ibarat satu maruah yang perlu dipertahankan atau keaiban yang perlu dielakkan.

“Bagi kita yang rasional ini biarlah apa keputusannya ianya tidak lebih sekadar satu sukan dan Malaysia serta Indonesia akan bertemu setiap tahun tanpa ada sesuatu yang kurang pun.

“Lagipun ianya bukan ibarat Brazil nak menentang Argentina, atau England akan berentap dengan Itali.

“Apa pun pada pandangan saya, pemain Malaysia sudah biasa dengan pelbagai provokasi dan tekanan yang hebat dalam aksi bertemu dengan Indonesia samada di gelanggang sendiri apatah lagi terpaksa naik kereta perisai ketika di Jakarta.

“Ketegangan sudah pasti kurang terasa bila beraksi di gelanggang berkecuali di Singapura,” ujarnya kepada CAKAPSUKAN, sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar dari Stadium Gelora Bung Karno menaiki kereta perisai sejurus kejayaan menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta.

Kesemua 24 pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa menaiki kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan selepas aksi terbabit dicemari insiden kekecohan dicetuskan segelintir penyokong tuan rumah.

Mengulas peluang skuad kebangsaan malam ini, Pekan yakin kebijaksanaan adalah milik pemain Malaysia namun keyakinan diri sahaja yang kerap membelenggu pemain negara.

“Kadang-kadang mereka bermain seperti sebuah kelab profesional dan esoknya mereka boleh bermain seperti sebuah pasukan sekolah.

“Justeru Jurulatih Tan Cheng Ho perlulah bijak mencaturkan pemain dan saya harap Faisal Halim diturunkan dan bukan De Paula untuk malam ini,” tegasnya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: