Oleh : SUBKHI SUDARJI
KESEMUA 19 pemain Harimau Malaya yang kini berjuang memburu kejuaraan Piala AFF 2020 disahkan bebas dari jangkitan Covid-19 selepas ujian calitan yang dibuat awal pagi tadi.
“Setiap pagi semua pemain bukan sahaja pasukan Malaysia tetapi lain-lain pasukan perlu menjalani ujian calitan Covid-19.
“Alhamdulillah selepas pemeriksaan pagi ini, semua 19 pemain bebas dari Covid-19,” jelas sumber kepada CAKAPSUKAN.
Jelasnya lagi, keputusan sama ada Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid sudah bebas dari jangkitan Covid-19 akan ditentukan awal pagi esok.
“Bagi dua pemain ini, keputusan sama ada sudah bebas dari Covid-19 akan diketahui esok,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, dua tonggak utama Harimau Malaya iaitu penjaga gol, Khairulazhan Khalid, Faisal Halim telah dikesan positif Covid-19 selepas tiba di Singapura dan terpaksa diketepikan pada aksi pertama menentang Kemboja.
Harimau Malaya terus kehilangan dua pemain iaitu, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng serta diketepikan ketika menentang Laos dan sedang menjalani pengasingan diri serta berada di bawah pemantauan.
Bagi temasya dwi tahunan ini, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 24 pemain ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.
Namun kehilangan empat pemain yang positif Covid-19 serta Dion Cools yang hanya akan bersama pasukan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Disember nanti, ia sekali gus menyaksikan hanya tinggal 19 pemain dalam skuad Harimau Malaya dan perlu mengharungi perlawanan berdepan juara bertahan Vietnam, malam esok.






Add Comment