Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Vietnam sangat laju ketika menyerang – Syahmi


Syahmi beraksi cemerlang ketika diturunkan menentang Laos, Khamis lalu.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERTAHANAN Harimau Malaya, Syahmi Safari menyifatkan Vietnam bakal mempamerkan corak permainan laju dan menyerang sebagaimana dipamerkan dalam beberapa pertembungan sebelum ini.

Tegasnya, pengalaman dalam beberapa perlawanan membabitkan aksi lawan sememangnya telah dilaluinya dan ia memerlukan tahap dispilin yang tinggi ketika bertahan.

“Memang betul halangan terbesar kita adalah Vietnam dan Indonesia. Kita kena fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan kali ini kita kena tumpu pada Vietnam dulu yang mana kita perlu tingkatkan dari segi hantaran dan mengelak melakukan kesilapan mudah.

“Kita sudah jumpa Vietnam banyak kali dari Piala AFF 2018. Kelayakan Piala Dunia pun kita jumpa mereka juga, saya rasa taktikal mereka tak berubah banyak. Mereka sangat laju ketika menyerang. Apa yang penting kita semua kena ambil benda ini serius dan lebih berdisplin,” katanya.

Mengakui lawan yang mendapat jolokan Naga Emas kuat, Syahmi bagaimanapun optimis pasukan kebangsaan boleh meraih keputusan positif sekiranya mempamerkan disiplin tinggi ketika bertahan dan menyerang.

“Kami perlu mengelak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan gawang pasukan kebangsaan dibolosi anak buah Park Hang-seo.

Malaysia yang kini dilihat berada dalam prestasi terbaik bakal turut berdepan laluan sebenar pada aksi ketiga Kumpulan B, Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, Ahad.

Skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan teratas kumpulan selepas mengumpul enam mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Kemboja dan menundukkan Laos 4-0.

Selepas Vietnam, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan mengharungi satu lagi halangan getir berdepan Indonesia pada 19 Disember ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: