Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Malaysia kekalkan rekod tujuh kemenangan tanpa kalah


Oleh : SUBKHI SUDARJI

REKOD tujuh kemenangan tanpa kalah Malaysia berdepan Kemboja terus dipertahankan selepas berjaya menewaskan lawan 3-1 pada aksi pertama Kumpulan B, Piala AFF 2020 yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi

Satu gol menerusi sepakan penalti pada babak pertama dan dua gol jaringan padang memastikan tiga mata penuh buat Harimau Malaya pada aksi yang sedikit kurang memberangsangkan.

Turun dengan status pasukan pilihan pada aksi pertama, Malaysia tidak menunggu lama untuk menguji benteng terakhir Kemboja, Keo Soksela menerusi rembatan Safawi Rasid dari luar kotak penalti pada minit ke-7 yang ditepis penjaga gawang lawan itu.

Berselang 11 minit kemudian giliran Guilhelme De Paula pula menguji lawan juga menerusi rembatan namun berjaya ditepis Soksela yang dilihat bekerja keras sepanjang 18 minit pertama.

Serangan berterusan dijelmakan Malaysia nyata memberikan tekanan kapada pertahanan lawan apabila Ken Chansopheak telah mengasari Akhyar Rashid dalam kotak penalti menyebabkan pengadil perlawanan, Alhunfush Shukri Hussain memberikan sepakan penalti buat Malaysia.

Safawi yang ditugaskan melakukan sepakan tersebut tidak berdepan masalah meletakkan bola dalam gawang Kemboja pada minit ke-23 untuk kedudukan 1-0 mengatasi lawan.

Selepas gol tersebut, rentak permainan Harimau Malaya dilihat sedikit kuren menyengat dengan lebih banyak bertahan dalam kawasan sendiri.

Kemboja turut mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi Chan Vathanaka dan Sieng Chanthea namun dinafikan penjaga gawang Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat untuk keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia memiliki peluang mengandakan kelebihan jaringan menerusi sepakan percuma Safawi namun Soksela sekali lagi bertindak cemerlang melayangkan badan menepis percubaan tersebut.

Skuad Harimau Malaya akhir lega apabila Akhyar menjaringkan gol kedua menerusi rembatan tepat ke gawang menewaskan Soksela buat kali kedua pada minit ke-60.

Harimau Malaya tampak selesa selepas pemain gantian R Kogileswaran menambah kelebihan gol ketiga buat pasukan pada minit ke-79 selepas mendapat hantaran dari Luqman Hakim.

Kemboja bagaimanapun memperolehi gol saguhati menerusi sepakan penalti pada minit ke-90 yang disempurankan oleh Sath Rosib.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan pemburuan tiga mata berdepan pasukan di ranking ke-185, Laos di venue sama, Khamis ini.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: