
Oleh : SUBKHI SUDARJI
TIGA pemain Harimau Malaya yang berpangkalan di luar negara Junior Eldstal, Dominic Tan dan Luqman Hakim Shamsudin telah menyertai pasukan di hotel penginapan pasukan di Singapura, semalam.
Kehadiran pemain ini melengkapkan senarai 24 pemain skuad kebangsaan yang bakal mengharungi cabaran Kejuaraan Piala AFF yang dijadual berlangsung dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun depan.
Junior yang beraksi di Liga Thailand bersama Chonburi FC dan boleh menggalas posisi pertahanan dan tengah dilihat antara calon yang sesuai bagi menggantikan kehilangan Akram Mahinan dan Kenny Pallraj yang terpaksa digugurkan ekoran kecederaan pada saat akhir.

Dominic Tan yang baharu sahaja sah bersama Sabah FC musim 2022 pula tonggak pertahanan kental dan pernah diturunkan sebelum ini pada aksi persahabatan pastinya ditagih Tan Cheng Hoe begitu juga Luqman yang menjadi taruhan selaku penyerang untuk merobek gawang lawan.
Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.
Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.






Add Comment