Bola Sepak Hoki

Pemain skuad hoki projek khas wanita positif Covid-19


KEPUTUSAN sama ada Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang kini berada di Donghae, Korea akan menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021 atau sebaliknya akan ditentukan Persekutuan Hoki Asia (AHF), esok.

Ini berikutan salah seorang pemain, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Korea pada Isnin (29 November) jam 9.00 pagi dan telah menjalani ujian calitan Covid-19 pada Selasa (30 November).

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan media memaklumkan, pasukan negara kini masih lagi menunggu keputusan ujian calitan kedua yang pada Khamis lalu dan turut menanti apakah keputusan muktamad AHF mengenai status pasukan negara dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021.

“KHM ingin memaklumkan bahawa status Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang kini berada di Donghae, Korea masih lagi menjadi tanda tanya adakah pasukan negara akan bersaing di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021 atau tidak.

“Keputusan Nurul Faezah yang disahkan Positif Covid-19 itu turut menjadi tanda tanya kepada KHM kerana sebelum berlepas ke Korea, keseluruhan barisan pemain, kejurulatihan dan pegawai sokongan telah diwajibkan melakukan ujian calitan Covid-19
bagi membolehkan mereka untuk berlepas ke Korea dan keputusan ujian di Kuala Lumpur itu mendapati ke semua mereka Negatif Covid-19 dan dibenarkan melakukan perjalanan.

“KHM berasa, Nurul Faezah mungkin dijangkiti Covid-19 ketika dalam perjalanan ke Korea, sama ada ketika di lapangan terbang atau di dalam pesawat menuju ke Korea dan dia kini telah diasingkan daripada pasukan kebangsaan bagi menjalani proses kuarantin.

“Bagaimanapun Nurul Faezah dan keseluruhan pasukan negara (pemain, barisan kejurulatihan dan Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM) kini berada di dalam keadaan sihat walafiat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, tanda- tanda atau simptom Covid-19,” tegasnya.

Keputusan ujian itu juga menyebabkan keseluruhan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan (pemain, barisan kejurulatihan dan Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM) perlu menjalani kuarantin di pusat penginapan dan tidak
dibenarkan sama sekali untuk keluar daripada bilik, sekaligus tidak dapat melakukan sebarang persiapan atau latihan persediaan akhir menjelang kejohanan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: