Bola Sepak

Firdaus, Ramlan kekal pertahankan jawatan


Firdaus (tengah,depan) pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-65 PBMM.

TUJUH jawatan kanan dalam Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) bagi penggal 2021-2025 diumumkan menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-65 Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

Mohd. Firdaus Mohamed dan Datuk Ramlan Askolani mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden persatuan yang ditubuhkan pada 19 April 1947 di Kuala Lumpur ini dengan nama asal Persatuan Sepakbola Melayu Semenanjung (PSMS).

Mereka menyandangnya dari penggal 2019-2021. Firdaus juga ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) badan induk kebangsaan yang menaungi PBMM manakala Ramlan, bekas tonggak Kuala Lumpur juara hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989.

PBMM bagi penggal baharu ini, menambah kuota Timbalan Presiden kepada dua penyandang dengan Datuk Kamarulnizam Mohd. Sharip yang sebelum ini Ahli Majlis, memenanginya juga tanpa bertanding.

Turut kembali menyandang Naib Presiden PBMM ialah Nudin Awang dan Mohd. Zamri Mazleh manakala dua muka baharu ialah Datuk Shaharul Asafali dan Datuk Ahmad Mad Daud.

Dua penyandang asal, Ku Besry Ku Aziz pula berundur untuk memberikan laluan dan hanya menyertai Ahli Exco persatuan sementara Omar Hamzah telah bersara daripada Polis Diraja Malaysia yang juga ahli gabungan PBMM.

“Keputusan pemilihan tanpa bertanding ini menunjukkan semangat muhibah dan keharmonian yang kukuh dalam PBMM.

“Pendekatan bersatu hati ini diharap mampu menjayakan transformasi PBMM dan penganjuran Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong selain mengukuhkan kerjasama dan sokongan kesemua 14 ahli gabungan,” kata Firdaus.

Seperti Piala Malaysia/Malaya yang memasuki 100 tahun penganjuran pertandingannya, baru-baru ini, kejohanan bola sepak hampir sebayanya, Piala Emas Raja-raja anjuran PBMM turut akan mencecah angka usia itu pada 2022.

Piala Emas Raja-raja hanya muda setahun dengan Piala Malaysia/Malaya (1921) dan pernah beberapa kali tidak dapat dilangsungkan tanggal 1931 hingga 1934, 1937 dan 1939 malah ketika Perang Dunia Kedua dari 1940 hingga 1947.

Dalam perkembangan sama, Firdaus memaklumkan selaku penganjur Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) turut terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menundanya ke 2022.

“Tahun 2020 dan 2021 tiada kedua-dua pertandingan tersebut tetapi saya yakin 2022 akan menyaksikan kembalinya agenda utama tahunan PBMM itu asalkan ancaman Covid-19 dengan varian baharu sekarang, tidak seserius sebelumnya.

“Seperti tradisi, Piala Agong akan menjadi perlawanan pembuka tirai musim 2022 dengan Piala Emas Raja-raja menyusul dalam Ogos atau September,” katanya dalam sidang media.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: