Bola Sepak

Tunku Ismail dedah akan mula berbelanja, “Maklumlah orang jarang kalah”


Tunku Ismail kelihatan tenang dan ceria bersama pemainnya selepas tewas kepada KL City FC di pentas akhir Piala Malaysia. Foto: IZARI ROSLI

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak mengambil masa lama untuk bangkit daripada kegagalan mempertahankan trofi berprestij Piala Malaysia tahun ini.

36 jam selepas aksi tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC di pentas akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu Tun Ismail tampil berkongsi perkembangan kelab dan juga maklumat lain menerusi perkongsian di Instagram rasmi OfficialJohor.

Jelas Tunku Ismail kekalahan tersebut adalah sesuatu yang positif untuk JDT.

“Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja. Ada hikmah disebaliknya, bagus juga ada ‘wake-up call’. Buat apa pun jikalau Allah SWT tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya.

“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad. Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar.

“Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan. Saya anggap kekalahan adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini.

Kami akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan kami.

“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT (Alistair Edwards) akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.

“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back‘,” ujarnya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: