Bola Sepak

Fandi Ahmad kongsi perasaan tiga anak bujang dalam skuad kebangsaan


Oleh: MOHD FARIQ

LEGENDA bola sepak Singapura, Fandi Ahmad tanpa berselindung mengakui dia berasa bangga menyaksikan pencapaian tiga anaknya bersama pasukan kebangsaan.

Baru-baru ini, tiga anak Fandi iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi telah disenaraikan bersama skuad kebangsaan Singapura menjelang aksi kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 selaku tuan rumah bermula 5 Disember depan.

Sebelum ini, peminat Singapura pernah menyaksikan Fandi membimbing anaknya iaitu Irfan dan Ikhsan ketika dia menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan dalam kempen Piala AFF Suzuki, lima tahun lalu.

Irfan dan Ikhsan sebelum ini telah beraksi bersama kelab Thailand, BG Pathum United manakala Ikhsan pula bersama kelab Norway, FK Jerv.

Sementara Ilhan, 19, bermain di posisi penyerang serta mampu mengisi bahagian tengah dan masih bersama skuad muda Singapura iaitu Young Lions dalam saingan Liga Singapura.

Mengulas lanjut kepada CAKAP SUKAN Fandi yang pernah membantu Kuala Lumpur memenangi Piala Malaysia edisi 1987 dan 1988, menegaskan kebanggaannya terhadap anak-anaknya bukan disebabkan reputasinya selaku penjaring terbanyak buat pasukan kebangsaan Singapura dengan meledak 55 gol.

Sebaliknya ia lebih bersentimenkan naluri seorang bapa yang melihat perjalanan karier anak-anaknya tanpa bergantung harap dengan status legendanya bersama pasukan Singapura.

Ilhan Fandi. Foto: IG FANDI AHMAD

“Tolak tepi bagaimana reputasi saya bersama Singapura di mana kebanggaan terhadap anak-anak saya ini adalah naluri sama seperti ibu bapa lain iaitu mahu menyaksikan anak-anak berjaya di dalam karier mereka.

“Saya berbangga kerana saya dapat melihat ketiga-tiga anak saya ini dapat mewakili pasukan kebangsaan dan perasaan menjadi bercampur baur kerana sebagai bekas pemain, saya tahu betapa bernilainya sekiranya kamu dapat mewakili pasukan kebangsaan.

“Bermain bersama pasukan kebangsaan adalah peringkat tertinggi buat pemain dan saya sentiasa memberikan nasihat kepada anak-anak saya supaya bekerja keras tanpa menghirau status saya.

Irfan Fandi. Foto: IG FANDI AHMAD

“Harapan saya adalah dapat melihat ketiga-tiga adik beradik ini bermain di atas padang dalam satu masa yang sama tetapi dalam bab ini, jurulatih, Tatsuma Yoshida lebih arif untuk menentukan kekuatan pasukan.

“Apapun, saya telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga anak saya di mana saya berharap mereka dapat membantu pasukan kebangsaan untuk mencari satu keputusan positif nanti dalam kempen Piala AFF Suzuki,” katanya kepada CakapSukan.

Ikhsan Fandi; Foto IG FANDI AHMAD

Untuk rekod, Fandi turut beraksi dalam kejuaraan yang pertama diperkenalkan pada tahun 1996 yang dikenali Tiger Cup berlangsung di Singapura.

Selain itu, bagi saingan Piala AFF Suzuki edisi 2020, Singapura telah diundi dalam kumpulan A bersama Thailand, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Sementara Kumpulan B pula diisi oleh dua finalis edisi 2018 iaitu Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.


1 Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading