Bola Sepak

Liga M3 dan M5 kembali Februari dan Mac 2022


Mohd Yusoff pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL ketiga di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, pagi tadi.

SELEPAS dua tahun tanpa pertandingan bola sepak di peringkat amatur susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara, Liga M3 dan Liga M5 bagi musim 2022 dijadual bermula pada Februari dan Mac depan.

Liga M4 pula diberi nafas baharu di mana Pertandingan hanya akan bermula dan terbentuk pada 2023 melalui pasukan relegasi Liga M3 2022 dan pasukan promosi Liga M5 2022.

Pengerusi Liga Amatur Malaysia, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, struktur terbaharu AFL di dalam arena bola sepak amatur di Malaysia akan berkuat kuasa serta-merta selain bakal melancarkan musim 2022 pada Januari tahun hadapan.

“Menerusi struktur terbaharu ini, AFL berazam untuk membawa liga amatur yang terdiri daripada pasukan-pasukan amatur di setiap negeri ke tahap yang profesional sekali gus memberi peluang untuk mereka (pasukan) membuktikan kebolehan pemain amatur bersaing di samping pemain-pemain profesional.

“Selain itu, AFL mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia menerusi pelaksanaan pertandingan yang tersusun serta sihat selain memperbaiki aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL ketiga di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, pagi tadi.

Liga M3 menyasarkan penyertaan sebanyak 20 pasukan bagi tahun 2022 yang mana barisan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan akan dijalankan secara timbal balik.

Empat pasukan teratas bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke Suku Akhir Liga M3 2022 dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.

Manakala Liga M5 2022 bakal dilancarkan oleh AFL seawal Mac 2022 selain menjalankan usahasama bersama Persatuan Bola Sepak negeri serta badan-badan penganjur yang berkaitan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: