
Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
SUDAHLAH dibelenggu masalah kecederaan pemain ditambah lagi dengan tempoh waktu yang singkat, Harimau Malaya terus diuji dan kali ini isu ketidakhadiran pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh bersama kem latihan skuad kebangsaan menimbulkan tanda tanya.
Berbaki seminggu menjelang sepak mula menentang Kemboja pada aksi pertama cabaran getir pastinya perlu diharungi pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe dalam mempersiapkan barisan pemain terbaik bagi mengharungi saingan Piala AFF di Singapura yang akan bermula hujung minggu ini.
“Kita dapat perkhabaran Sumareh tidak dapat bersama kerana ada isu peribadi dan beri dia satu hari. Kita berharap dia akan datang nanti,” katanya, pada sesi latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, petang tadi.
Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.
Skuad kebangsaan menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.
Add Comment