Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
PEMAIN veteran Kuala Lumpur City FC, Shukor Adan yang telah mengumumkan persaraannya sebaik tamat final Piala Malaysia 2021 mahu menamatkan karier dengan menjulang Piala Malaysia buat kali kelima.
Shukor yang juga bekas pemain Harimau Malaya sudah menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu dua bersama Selangor (2002, 2005) dan dua bersama Negeri Sembilan (2009,2011).
Pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Selangor, Felda United dan Melaka berkata, sepanjang kariernya alam arena bola sepak tanah air, pasukan Kuala Lumpur antara yang terbaik pernah diwakilinya ketika ini.
“Kuala Lumpur adalah pasukan yang terbaik kerana siapa sangka pada awal saingan liga kurang bernasib baik namun akhirnya mampu beraksi di pentas final Piala Malaysia.
“Dalam umur 42 tahun ini tak sangka dapat ke final walaupun kurang minit perlawanan namun jurulatih tetap beri kepercayaan kepada saya.
“Di usia sekarang adalah pencapaian terbaik dan sudah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hamper 24 tahun,” katanya, pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Add Comment