Bola Sepak

Segera tawarkan kontrak baharu buat Nafuzi


Oleh : SUBKHI SUDARJI

TERENGGANU FC perlu segera menawarkan kontrak baharu buat Nafuzi Zain selaku pengendali pasukan pada musim depan bagi mengelakkannya disambar pasukan lain.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Wan Mohd Hafizul Nik Anuar, kata putus segera perlu dilakukan untuk memudahkannya membuat perancangan.

“Kami melihat Nafuzi telah berjaya membentuk pasukan Terengganu yang dibarisi pemain-pemain muda walaupun tanpa pemain ternama.

“Tidak mustahil beberapa pemain muda bakal dipancing pasukan-pasukan lain untuk mengharungi musim depan, jadi buat pengurusan TFC segeralah bertindak dan mengadakan perbincangan mengenai kontrak baharu pemain mahupun jurulatih,” katanya kepada CAKAPSUKAN, sebentar tadi.

Terdahulu semasa sidang media selepas aksi separuh akhir kedua malam tadi, Nafuzi memaklumkan masih belum menerima sebarang tawaran baharu buatnya untuk terus membimbing TFC.

Bakal menamatkan kontrak pada 30 November nanti, bekas penyerang Terengganu 2001 ini juga terbuka berunding dengan mana-mana pasukan lain jika berhasrat mendapatkan khidmatnya.

Namun baginya ketika ini keutamaan adalah Terengganu FC kerana masih banyak kerja yang masih belum selesai.


1 Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: