Hoki

Piala Tun Abdul Razak: Empat pasukan wanita tempah slot ke separuh akhir


Pemain-pemain Pulau Pinang merai kemenangan aksi suku akhir pada Jumaat.

EMPAT slot separuh akhir Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 secara rasminya menjadi milik Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan X-Y yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Keputusan seri tanpa jaringan pada pertemuan Kuala Lumpur dan Selangor sudah cukup untuk Kuala Lumpur mengesahkan tempat mereka di pentas separuh akhir sementara kebangkitan Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-2 berjaya memastikan salah satu slot separuh akhir milik mereka.

Aisyah Nasir yang menjadi salah satu watak penting dalam kemenangan Pulau Pinang hari ini di mana dua jaringan padang olehnya membawa Pulau Pinang ke pentas separuh akhir selaku juara Kumpulan Y, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana berjaya membantu pasukannya untuk beraksi di separuh akhir pada Sabtu.

“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan yang kami raih dan saya yakin dengan izin Allah selain usaha kami sepasukan kami meraih kemenangan ini. Saya juga bersyukur kerana diri saya sendiri dapat bermain dengan baik hari ini serta menjaringkan dua gol untuk pasukan.

“Ketika kami berjaya mengikat kedudukan 2-2, kami yakin baki perlawanan yang tinggal kami mampu untuk bangkit selain terus bermain dengan bersungguh-sungguh sehingga meraih kemenangan.

“Untuk aksi seterusnya, kami akan memberikan fokus yang lebih dan tidak akan mengambil mudah perlawanan yang tinggal. Kami juga akan terus bermain dengan bersemangat sebagai satu pasukan,” jelasnya dipetik daripada laman sesawang MHC.

Satu lagi aksi bagi menentukan pasukan ke separuh akhir menyaksikan Kuala Lumpur dan Selangor terikat 0-0. Satu mata yang diraih oleh Kuala Lumpur daripada aksi hari ini cukup untuk membawa mereka ke separuh akhir sebagai juara kumpulan X.

Kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada Khamis nyata membantu Kuala Lumpur untuk mengesahkan slot separuh akhir selaku juara kumpulan dengan empat mata secara keseluruhan dikumpul sementara Pahang, naib juara kumpulan hasil tiga mata yang diraih ketika menewaskan Selangor sebelum ini mengiringi Kuala Lumpur ke separuh akhir.

Dalam pada itu aksi terakhir bagi Kumpulan W dan Z menyaksikan Terengganu menewaskan Perak 4-1 bagi saingan Kumpulan W sementara Sarawak menundukkan PDRM 3-0 bagi aksi terakhir Kumpulan Z.

Dengan berakhirnya aksi bagi Kumpulan W dan Z, kedudukan dalam Kumpulan menyaksikan Negeri Sembilan muncul pendahulu Kumpulan W diikuti Terengganu dan Perak. Bagi Kumpulan Z pula, Sarawak muncul pasukan teratas kumpulan diikuti Sabah dan PDRM

Kedudukan terakhir ini sekaligus menyaksikan Negeri Sembilan akan membuat perhitungan dengan Sarawak bagi mencari pemenang tempat ke-7 dan ke-8, Terengganu akan bertemu Sabah bagi penentuan kedudukan ke-9 dan ke-10 sementara kedudukan tempat ke-11 dan ke-12 akan menemukan Perak dan PDRM.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: