Hoki

Pengalaman bersama skuad senior jadi taruhan – Akhimullah


Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker beramah mesra dengan barisan pemain yang bakal menggalas cabaran di India nanti.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / MOHD KHAIRUL AKMA

KETUA skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman bersama pasukan senior untuk mengharungi kejohanan di Piala Dunia Remaja Lelaki di Bhubaneswar, India, bermula 24 November hingga 5 Disember  ini.

Telah melakukan penampilan sebanyak 20 kali bersama pasukan senior, Akhimullah percaya ia banyak membantunya mendalami aspek teknikal dan memantapkan kemahiran individunya seterusnya dapat memberi panduan berguna membimbing rakan sepasukannya.

“Pengalaman ini akan saya terapkan bersama pasukan pada kejohanan ini dan percaya rakan sepasukan yang lain mampu memberikan saingan kepada lawan,” katanya ditemui media pada majlis pelancaran jersi baharu pasukannya pada pertandingan di India itu nanti, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Walaupun Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama naib juara 2016, Belgium, Afrika Selatan dan pasukan meningkat naik dari Amerika Selatan iaitu Chile, Mohamad Akhimullah percaya rakan sepasukannya mampu menjelmakan prestasi baik di atas padang untuk cuba memberi saingan sengit dalam saingan awal di India nanti.

Berdasarkan Siri Jelajah United Kingdom 2021 baru-baru ini , menyaksikan mereka mencatat dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan daripada lapan aksi di sana.

Skuadnya remaja kebangsaan dijangka berlepas ke India pada 16 dijadualkan berdepan Belanda dalam aksi pemanas badan pada 22 Nov ini.

Malaysia akan membuka tirai kempen Piala Dunia Remaja Lelaki berdepan Chile pada 24 Nov diikuti Belgium (26 Nov) sebelum menamatkan saingan kumpulan dengan Afrika Selatan sehari kemudian.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: