
WALAUPUN tanpa kehadiran pemain senior dan junior kebangsaan, Perak tampil dengan keyakinan untuk menyerlah dan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak ke-59 yang akan membuka tirai di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula hari ini.
Ketua jurulatih, Abdul Sukur Adam mengakui ketiadaan lima pemain senior dan dua pemain remaja kebangsaan nyata memberi kesan terhadap kekuatan pasukan namun yakin barisan pemain pelapis dari skuad Sukma mampu menggalas tanggungjawab besar mempertahan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas.
Menyifatkan saingan lebih terbuka tahun ini kerana majoriti pasukan negeri yang dibarisi pemain muda, Abdul Sukur yang menggalas tugas kejurulatihan menggantikan Roslan Jamaluddin musim ini, tetap menghormati kemampuan pasukan lain.
“Ya, ketiadaan pemain senior dan junior kebangsaan memang amat dirasakan. Namun saya yakin, pemain pelapis yang ada tentunya bersemangat tinggi untuk buktikan kemampuan masing-masing,” katanya.
Perak menjuarai edisi tahun 2020 selepas menundukkan Terengganu 4-2 pada perlawanan akhir. Ia merupakan kejuaraan kali ke-10 buat Perak
Sementara itu, dalam saingan Piala Tun Abdul Razak Ke-6 (Wanita) juga menampilkan kalangan pemain muda dengan juara bertahan Pahang tetap menjadi pasukan pilihan yang dijangka mampu memberikan saingan sengit hingga ke pentas akhir.
Jurulatih Pahang, Mohd Sabri Mohamad berkata, pasukannya kehilangan lima pemain senior dari skuad tahun lepas dan saingan kali ini digalas oleh barisan pemain muda daripada skuad Sukma.
“Persiapan lancar sejak tiga minggu lepas dan dengan semangat yang tinggi terutama bagi pemain yang pertama kali beraksi dalam Piala Tun Abdul Razak ini, saya yakin kami mampu pergi jauh,” kata beliau.
Pahang, yang muncul juara menumpaskan Selangor pada perlawanan akhir tahun lalu, bakal bertemu Negeri Sembilan pada saingan pembukaan hari ini.
Bagi saingan lelaki, 14 pasukan negeri yang dibahagi kepada tiga kumpulan sah bertanding manakala bagi wanita, 12 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
JADUAL PERLAWANAN (Rabu, 10 Nov)
LELAKI
Kumpulan A: Selangor mln PDRM dan Perak mln Sabah
Kumpulan B: Terengganu mln Kedah dan Perlis mln Melaka
Kumpulan C: Kelantan mln Kuala Lumpur dan Pahang mln Pulau Pinang
WANITA
Kumpulan A: Pahang mln Negeri Sembilan dan Sabah mln Melaka
Kumpulan B: Selangor mln PDRM dan Kedah mln Perak
• Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Add Comment