Bola Sepak

“Morales sepatutnya yang dinaturalisasi” – Hodak


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto:  MOHD KHAIRUL AKMA

SETELAH membantu Kuala Lumpur City FC menjuarai Kumpulan A TM Piala Malaysia 2021 dengan lapan gol, Romel Morales meneruskan rentak cemerlang dengan menambah satu lagi jaringan untuk Kuala Lumpur City dalam kemenangan 2-0 ke atas musuh setempat, Selangor.

Kali ini jaringan kesembilan Morales dalam kancah Piala Malaysia hadir selepas menjaringkan gol pembukaan dalam Derbi Lembah Klang ke-82 pada separuh masa pertama.

Dengan jaringan ini, pemain kelahiran Colombia itu kini mencatatkan rekod baharu kelab apabila muncul pemain pertama dalam sejarah Kuala Lumpur yang berjaya menjaringkan sembilan gol dalam Piala Malaysia.

Selain itu, Kuala Lumpur City juga mencatatkan rekod baharu kelab apabila berjaya merakamkan lapan aksi tanpa kalah dalam Piala Malaysia dan juga kemenangan pertama ke atas Selangor di tempat lawan sejak 21 tahun lalu.

Kejayaan ini turut dikongsi bersama Ketua Jurulatih, Bojan Hodak yang nyata gembira dengan prestasi semasa yang ditunjukkan Morales yang menyaksikan Kuala Lumpur City kini sudah mempunyai kelebihan dua gol di tempat lawan.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Hodak berkata apa yang dicapai oleh Morales dalam Piala Malaysia kini adalah hasil usaha keras Morales yang ditunjukkan ketika sesi latihan.

“Morales adalah seorang pemain yang istimewa. Beliau semakin kuat dan berbahaya. Beliau juga berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 8 kilogram sejak pertengahan tahun ini.

“Segala usaha kerasnya kini dapat dilihat di atas padang dan jika Malaysia ingin memberikan passport, dia adalah pemain yang sepatutnya dinaturalisasikan dan bukannya pemain yang sudah berusia lebih 30 tahun,” jelas Hodak.

Kuala Lumpur City FC berjaya menundukkan Selangor 2-0 dalam aksi suku akhir pertama dan kini dilihat seperti sudah selangkah ke peringkat separuh akhir tetapi Hodak tetap tidak mahu dibuai angan-angan.

“Ianya bagus untuk menang di laman lawan dan mempunyai dua gol tetapi kami tidak boleh terlalu selesa dan akan cuba untuk memenangi perlawanan di tempat sendiri Khamis nanti. Kami akan kekalkan fokus kerana apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak,” tambah Hodak.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua di Cheras pada Khamis untuk menentukan siapakah yang bergelar jaguh Lembah Klang dan juga menempah tempat ke separuh akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: