
TERENGGANU FC sekadar menang tipis 2-1 ke atas Sarawak United FC dalam aksi pertama suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mengegarkan jaring gol pelawat menerusi pemain sayap lincah TFC, Faisal Halim pada minit ke-17 untuk pasukannya berada didepan dan menggamatkan hampir 9,000 penyokong setia skuad Penyu.
Tersentak jaringan itu, skuad bimbingan E Elavarasan memperkemaskan asakan dan hasilnya pada minit ke-21, skuad Kenyalang Emas itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1 berpunca jaringan sendiri pertahanan TFC, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan bola hantaran lintang Tommy Mawat.
TFC yang lebih kerap mengatur gerakan memperoleh gol kedua sekali lagi menerusi Faisal pada minit ke-41, namun pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan jaringan itu selepas pemain itu terlebih dahulu dikesan berkedudukan ofsaid.
Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah turut terlepas peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila sepakan percumanya berdekatan kotak penalti terkena tiang gol sebelah kanan sekali gus terselamat pintu gol pelawat.
Pada minit ke-51, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekali lagi bergema dengan sorakan peminat apabila, Faiz Nasir menjaringkan gol kedua dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Add Comment