Bola Sepak

Selangor FC kehilangan Safuwan


SELANGOR FC kehilangan tonggak utama, Safuwan Baharudin pada pentas suku akhir Piala Malaysia selepas pemain kelahiran Singapura ini diberikan pelepasan awal  untuk menyertai sesi latihan pasukan Singapura FA menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2021 yang bakal berlangsung pada bulan Desember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, Safuwan telah terbang ke negara kelahirannya selepas aksi menentang Terengganu FC dan akan menjalani kuarantin selama tujuh hari sebelum beliau lapor diri bersama pasukan Singapura FA.

“Safuwan merupakan pemain tonggak Selangor FC dan juga Singapura FA. Ianya agak berat untuk melepaskan beliau dalam saingan Piala Malaysia sedang berlangsung, namun ini tidak dapat dielakkan kerana kelab perlu mematuhi kalendar FIFA yang telah ditetapkan. Kami juga ingin memberi sokongan terhadap tanggungjawab Safuwan untuk berbakti kepada negara kelahirannya.

Safuwan bakal kembali menyertai pasukan seandainya layak ke pusingan separuh akhir.

“Walaubagaimanapun, Safuwan hanya tidak dapat bersama rakan sepasukan di peringkat suku akhir sahaja. Beliau akan pulang ke kem Selangor FC untuk peringkat seterusnya bagi saingan Piala Malaysia 2021 jika pasukan layak menempa tempat ke pusingan seterusnya,” ujarnya dipetik menerusi laman rasmi pasukan.

Dr Johan juga sempat menyatakan bahawa pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan yakin dengan pemain-pemain yang ada untuk membawa pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Malam ini Selangor FC akan beraksi menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh Perak untuk perlawanan akhir peringkat kumpulan B bagi menambah mata seterusnya biarpun telah layak ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung minggu hadapan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading