Bola Sepak

Sabah sah ke suku akhir, Kedah pilih laluan sukar


Mitrevski menjaringkan gol buat Sabah FC menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Oleh :SUBKHI SUDARJI

SABAH FC mengesahkan kemaraan ke peringkat Suku Akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Petaling Jaya City FC, 1-0 pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Gol tunggal menerusi sepakan penalti disempurnakan Ketua pasukan, Risto Mitrevski pada minit ke 20 membawa skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT) selaku dua pasukan teratas Kumpulan D.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menguji pelawat menerusi tandukan Mitrevski pada minit ke-2 namun percubaannya selepas mendapat hantaran lintang dari rakan sepasukan itu sedikit melewati palang gol.

Tekanan berterusan tuan rumah ke atas pelawat memberikan impak apabila pertahanan PJFC, R Salamon telah menjatuhkan pemain import dari Korea, Park Taesu dalam kotak penalti menyebabkan pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria tidak memiliki pilihan lain dengan memberikan sepakan penalti kepada Sabah FC.

Mitrevski yang diamanahkan melakukan sepakan penalti tenang menewaskan Kalamullah Ak Hafiz pada minit ke-21 untuk Sabah FC mendahului PJFC dengan 1-0.

Tersentak dengan gol tersebut, anak didik P Maniam menggandakan asakan memburu gol menerusi Darren Lok namun pergerakannya sedikit terbatas disebabkan kawalan rapi pertahanan tuan rumah selain keadaan padang basah serta bertakung yang menyukarkan hantaran bola.

Selang lima minit kemudian, PJFC berjaya menjaringkan gol menerusi M Youwarasan yang pantas menyambar bola muntah dari dakapan penjaga gol tuan rumah, Rozaimie Rohim berpunca dari sepakan percuma K Gurusamy namun dibatalkan kerana M Youwarasan berada dalam kedudukan offside.

The Rhinos hampir berpeluang menggandakan kelebihan jaringan gol kedua jika tidak kerana ketangkasan Kalamullah yang melayangkan badan menepis tandukan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-40.

Memasuki babak kedua, corak permainan pantas dipamerkan pelawat bagi memburu gol penyamaan dengan beberapa pertukaran pemain.

Pemain berpengalaman Sabah FC, Mohd Amri Yahya hampir menjaringkan gol kedua buat pasukan pada minit ke-55 namun sepakannya berjaya dinafikan K Prabakaran diatas garisan gol ketika Kalamullah sudah pun tertewas.

Sabah FC seharusnya menamatkan perlawanan dengan lebih awal menerusi gol kedua pada minit ke 84 namun percubaan lemah Park Taesu sedikit tersasar dari gawang gol.

Kemenangan ini memastikan Sabah FC ditangga kedua dengan mengutip lapan mata manakala PJFC ditangga ketiga dengan lima mata.

Syafiq Ahmad meledak satu gol membantu kemenangan JDT menewaskan Kelantan FC, 4-0.

SATU lagi perlawanan dalam Kumpulan D di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, juara kumpulan,  Johor Darul Ta’zim (JDT)  tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kelantan FC dengan keputusan 4-0.

Kemenangan diraih skuad bimbingan Benjamin Mora ini mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan dalam saingan di peringkat kumpulan.

Gol-gol pelawat dijaringkan Syafiq Ahmad pada minit ke-48, Leandro Velázquez (m-60), Guilherme De Paula (m-62) dan Shahrul Saad (m-90)

Gol jaringan Manuel Ott (dua,kanan) pada minit ke-24 memisahkan pasukan pada separuh masa pertama.

SEMENTARA itu aksi di Stadium Hang Jebat, pula menyaksikan Melaka United FC sah menjuarai Kumpulan C selepas berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC, 2-0.

Tuan rumah terlebih dahulu mengegarkan gawang pelawat menerusi rembatan dari luar kotak penalti Manuel Ott pada minit ke-24 dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Melaka United FC mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Giované Gomes pada minit ke-89 untuk kedudukan 2-0 memihak tuan rumah.

Tiga mata diraih MUFC itu mengesahkan statusnya selaku juara kumpulan dengan mengutip 15 mata dan bakal berdepan dengan Sabah FC yang menduduki tangga kedua dalam Kumpulan D manakala Kedah Darul Aman ditangga kedua (12 mata) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: