Bola Sepak

‘Jurulatih Bola Sepak Berjaya’ penuh dengan teori penting ilmu kejurulatihan


Dr. Zulakbal menyerah buku hasil tulisannya sebagai rujukan kepada wakil FAM, Mohd Saifuddin.

ILMU pengetahuan tiada batasan untuk dipelajari lebih-lebih dalam bidang kejurulatihan bola sepak yang sudah berubah ke era lebih moden.

Mengambil maklum situasi kejurulatihan bola sepak negara, sebuah buku ‘Jurulatih Bola Sepak Berjaya’ khas diterbitkan dalam Bahasa Melayu sebagai informasi dan panduan serta rujukan kepada jurulatih, bakal jurulatih atau yang bercita-cita ingin menjadi jurulatih bola sepak, guru-guru sukan serta penggiat bola sepak.

Ianya diterbitkan oleh penulis berpengalaman dalam bidang kejurulatihan, Dr Zulakbal Abd Karim yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau juga sememanganya bukan orang asing dalam bola sepak tanah air yang kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan dan Pembangunan Ahli Gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Zulakbal, beliau sempat menyerahkan buku yang dihasilkan ini kepada Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar hari ini.

“Saya membuat kunjungan hormat ke FAM dan menyerah sendiri buku Jurulatih Bola Sepak Berjaya kepada wakil FAM sebagai perkongsian rujukan.

“Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri sepanjang mengendalikan kursus kejurulatihan di FAM sebelum ini.

“Ianya merangkum 12 bab penting kejurulatihan termasuk ciri-ciri kejurulatihan untuk remaja.

“Sebelum ini banyak buku dihasilkan dalam bahasa Inggeris, tetapi kali ini ia lebih mudah difahami bagi mereka yang mencari maklumat dan informasi kejurulatihan yang lebih lengkap dengan teori yang praktikal,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Bagi mereka yang berminat mendalami ilmu kejurulatihan, tidak rugi untuk mendapatkannya dengan harga RM35 secara atas talian di Lazada, Shopee atau Youbeli.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: