Bola Sepak

MPM perkenalkan Surat Akujanji elak insiden Ziyad berulang


Megat D Shahriman menunjukkan surat akujanji yang perlu ditandatangani setiap pengurus atau jurulatih.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) telah memperkenalkan Surat Akujanji Perjanjian Jaminan menunaikan tugas kepada ketua pasukan yang dilantik bagi mengelakkan insiden yang menimpa jaguh lontar peluru para negara, Mohamad Ziyad Zolkefli berulang.

Presiden MPM, Datuk Ser Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, senarai semak pergerakan dan tugas-tugas yang perlu dilakukan disepanjang kejohanan akan diberikan dan dimaklumkan perkembangan setiap masa.

“Mereka (Ketua pasukan jurulatih) perlu menandatangani surat akujanji ini mengikut Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018.

“Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah amaran, menilai balik kontrak dan yang terakhir berdepan penamatan kontrak,” katanya.

Megat D Shahriman berkata, surat akujanji ini bakal dikuatkuasakan bermula kejohanan Asian Youth Para Games (AYPG2021) di Manama, Bahrain pada 2 hingga 6 Disember nanti.

Berdasarkan surat akujanji tersebut, pegawai akan merancang dan menentukan segala pelan tindak untuk bertanding dalam AYPG 2021 adalah dirancang dengan baik untuk memenuhi ekspektasi pihak berkepentingan dan patuhi dengan segala peraturan kejohanan.

“Menyelaras dan menentukan segala urusan pertandingan – sebelum, semasa dan selepas – dijalankan dengan baik untuk atlet bawah kawalan dapat disediakan dan bertanding tanpa sebarang kesukaran.

“Mengawal. menentukan segala tindakan dan situasi keselamatan atlet, persediaan atlet bertanding dan pematuhan peraturan pertandingan, dikawalselia dengan baik bagi menentukan penglibatan atlet dalam AYPG 2021 berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau menambah, pegawai berkenaan juga perlu melaporkan dan menentukan Ketua Kontinjen Para Malaysia diberi infomasi yang tepat sebelum dan semasa pertandingan.

“Laporan harian akan diberi kepada Ketua Kontinjen mulai 15 November sehingga kontinjen selamat kembali ke Malaysia,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: