Bola Sepak

“Kaki dah pulih… kini perlu kuatkan mental dan fizikal” – Shahrel


Shahrel Fikri mengakui dia tidak mahu terburu-buru selepas pulih daripada kecederaan. Foto: Selangor FC

PENYERANG Selangor FC, Shahrel Fikri mengakui masih belum mampu beraksi 90 minit selepas akhirnya mendapat peluang untuk kembali diturunkan sejak aksi ketiga TM Piala Malaysia sebagai pemain gantian.

Bekas pemain Perak itu sebelum ini terpaksa melupakan musim 2021 sepenuhnya selepas berdepan kecederaan pergelangan kaki pada awal Mei lalu sebelum akhirnya kembali mendapat kepercayaan untuk beraksi.

Kehadirannya sejak perlawanan menentang Kuching City FC dapat memperkuatkan lagi jentera serangan walaupun hadir selaku pemain gantian dan Shahrel membuktikan dirinya masih lagi berbisa apabila meledak gol tunggal ketika berdepan Terengganu FC, Ahad lalu.

Namun, penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2020 ini menegaskan dia masih lagi berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi penuh kerana khuatir kecederaan kembali menghantui diri.

“Setakat ini apabila diberi tanggungjawab saya rasa tidak mustahil untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dan Alhamdulillah (Ahad) saya berjaya menjaringkan gol.

“Saya rasa macam terlalu cepat juga masuk padang sebab sasaran sebenarnya untuk mula balik musim depan, tetapi selepas proses pemulihan berjalan lancar, saya dapat beraksi semula untuk musim ini, cuma kena kerja lebih keras lagi untuk tahun depan.

“Kaki saya dah pulih sepenuhnya, cuma hanya mental dan fizikal sahaja kena lebih kuat dan nak bermain 90 minit sepenuhnya memang agak sukar, tetapi saya akan cuba perlahan-lahan untuk mungkin masuk di separuh masa kedua terlebih dahulu,” jelasnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d