
Oleh: JJFIRDAUS
PEMANDU Red Bull Racing, Max Verstappen melebarkan kelebihan mata keseluruhan kepada 19 mata selepas berjaya memenangi Grand Prix Mexico City mengatasi pencabar terdekat, Lewis Hamilton.
Verstappen yang memulakan perlumbaan di petak ketiga bermula dengan baik dan berjaya memintas kedua-dua pelumba Mercedes untuk mendahului dari awal perlumbaan sekaligus menjuarai perlumbaan kesembilannya musim ini.
Malang buat pemegang petak utama, Valtteri Bottas yang dilanggar dari belakang oleh Daniel Ricciardo di selekoh pertama sekaligus menjejaskan perlumbaannya dan hanya tamat di kedudukan ke-15.
Lewis Hamilton dan Mercedes nyata gagal menyekat kelajuan jentera Red Bull dengan Verstappen muncul juara dengan kelebihan 16.555 saat di hadapan dengan satu lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez ketiga.
Lebih 120,000 penonton yang hadir teruja apabila Perez mendahului beberapa pusingan dan akhirnya berjaya menaiki podium sekaligus muncul pemandu Mexico pertama berbuat demikian.
Bercakap kepada media selepas perlumbaan, Verstappen nyata gembira dengan kemenangan ini yang meletakkannya semakin menghampiri kejayaan sulung bergelar juara dunia F1 dengan berbaki empat perlumbaan.

“Ianya sangat menakjubkan. Mempunyai Perez sebagai teman sepasukan untuk datang ke Mexico sangat mengujakan. Penyokong di sini sangat mengagumkan. Mereka sememangnya meminati F1,” kata Verstappen selepas perlumbaan.
Hamilton yang jelas kecewa selepas tamat perlumbaan pula berkata: “Saya sudah memberikan segala-galanya malah mempunyai perlumbaan yang menarik dengan Perez. Saya bersyukur di tempat kedua. Saya gembira berlumba di sini.”
Perez pula nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan ketika temubual menyatakan sorakan penyokong tuan rumah banyak membantunya dalam perlumbaan ini.
“Pastinya saya mahukan keputusan yang lebih baik hari ini, saya mahukan kedudukan 1-2 untuk pasukan. Saya mahu berikan seluruh jiwa raga saya kepada para penyokong, saya dapat mendengar sorakan mereka setiap kali melintasi mereka!,” kongsi Perez.
Sementara itu, Pierre Gasly cemerlang di tangga keempat dengan duo Ferrari, Charles Leclerc dan Carlos Sainz masing-masing kelima dan keenam manakala Sebastian Vettel berjaya menamatkan perlumbaan di tangan ketujuh.
A podium to remember 🥳#MexicoGP 🇲🇽 #F1 pic.twitter.com/KbxgfGuAZb
— Formula 1 (@F1) November 7, 2021
Kimi Raikkonen pula berada di kedudukan kelapan dengan Fernando Alonso kesembilan dan Lando Norris melengkapkan 10 pelumba teratas dan Valtteri Bottas berjaya merampas pusingan terpantas di pusingan terakhir perlumbaan.
F1 akan ke Brazil minggu hadapan dan Verstappen pastinya mahukan satu lagi kemenangan untuk berada di kedudukan yang lebih selesa sebelum perlumbaan beralih ke Timur Tengah untuk tiga perlumbaan terakhir.
Keputusan Grand Prix F1 Mexico City:
1. Max Verstappen – Red Bull
2. Lewis Hamilton – Mercedes
3. Sergio Perez – Red Bull
4. Pierre Gasly – Alpha Tauri
5. Charles Leclerc – Ferrari
6. Carlos Sainz – Ferrari
7. Sebastian Vettel – Aston Martin
8. Kimi Raikkonen – Alfa Romeo
9. Fernando Alonso – Alpine
10. Lando Norris – McLaren
11. Antonio Giovinazzi – Alfa Romeo
12. Daniel Ricciardo – McLaren
13. Esteban Ocon – Alpine
14. Lance Stroll – Aston Martin
15. Valtteri Bottas – Mercedes
16. George Russell – Williams
17. Nicolas Latifi – Williams
18. Nikita Mazepin – Haas
19. Mick Schumacher – Haas
20. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
Kedudukan Pemandu Selepas GP F1 Mexico City (10 Teratas)
1. Max Verstappen – 312.5 mata
2. Lewis Hamilton – 293.5 mata
3. Valtteri Bottas – 185 mata
4. Sergio Perez – 165 mata
5. Lando Norris – 150 mata
6. Charles Leclerc – 138.5 mata
7. Carlos Sainz – 130 mata
8. Daniel Ricciardo – 105 mata
9. Pierre Gasly – 86 mata
10. Fernando Alonso – 60 mata
Kedudukan Pengeluar Selepas GP F1 Mexico City:
1. Mercedes – 478.5 mata
2. Red Bull Racing – 477.5 mata
3. Ferrari – 268.5 mata
4. McLaren – 255 mata
5. Alpine – 106 mata
6. Alpha Tauri – 106 mata
7. Aston Martin – 68 mata
8. Williams – 23 mata
9. Alfa Romeo – 11 mata
10. Haas – 0 mata
Add Comment