Permotoran

F1: Duo Mercedes kuasai aksi kelayakan di Mexico City


Bottas merai kemenangan aksi kelayakan di hadapan penyokong. Foto: F1

Oleh: JJFIRDAUS

DUO Mercedes, Valtteri Bottas dan Lewis Hamilton mengejutkan pasukan pilihan Red Bull Racing apabila berjaya mencatat merampas petak hadapan dalam sesi kelayakan Grand Prix Mexico City di Litar Rodriguez Brothers.

Bottas berjaya mencatat masa terpantas dengan catatat 1minit 15.875 saat mengatasi Hamilton yang ketinggalan 0.145 saat dibelakang untuk permulaan di petak yang kedua.

Pendahulu keseluruhan, Max Verstappen sekadar mencatat masa ketiga terpantas sekaligus menyaksikannya terpaksa bertarung hebat jika ingin mengungguli perlumbaan pada pagi Isnin nanti.

Teman sepasukan Verstappen yang juga pemandu tuan rumah, Sergio Perez keempat selepas terbabas kerana terganggu dengan momentum kesilapan Yuki Tsunoda yang juga terbabas di selekoh yang sama.

Pierre Gasly kelima dengan Carlos Sainz keenam. Daniel Ricciardo bakal memulakan perlumbaan di petak ketujuh dengan Charles Leclerc kelapan. Yuki Tsunoda kesembilan dan Lando Norris melengkapkan 10 pelumba terpantas.

Lima pelumba tersingkir pada pusingan kelayakan pertama yang melihatkan Fernando Alonso, Nicolas Latifi, Mick Schumacher, Nikita Mazepin dan Lance Stroll mengisi petak ke-16 hingga ke-20.

Pusingan kelayakan kedua pula menyaksikan Sebastian Vettel, Kimi Raikkonen, George Russell, Antonio Giovinazzi dan Esteban Ocon tersingkir dan masing-masing akan mengisi petak ke-11 hingga ke-15.

“Ianya adalah satu lap yang cukup bagus, terutama pusingan pertama saya pada sesi Q3. Saya gagal mengulangi kelajuan pada sektor terakhir ketika pusingan kedua, tetapi sejujurnya, pusingan pertama adalah antara lap terbaik pernah saya lakukan dan ia memberikan rasa yang cukup bagus,” ujar Bottas.

Sementara itu Hamilton pula terkejut kerana dia dan Valtteri berjaya menguasai sesi kelayakan.

Lewis Hamilton

“Kami sedikit bergelut di beberapa bahagian litar ini dan ianya satu kejutan apabila kami berdua berjaya merampas petak hadapan,” jelas juara dunia tujuh kali itu.

Manakala Verstappen pula jelas kecewa apabila gagal mendapatkan petak utama dan kini perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya sekaligus semakin menghampiri gelaran juara dunia pertama.

“Saya suka untuk berada di petak utama dan melihat apa yang bakal terjadi di selekoh pertama. Tetapi kita harus menerima apa yang telah terjadi pada sesi kelayakan ini. Pastinya ia bukanlah apa yang kita inginkan tetap ianya bukanlah penghujung dunia,” katanya.

Verstappen pastinya mahu melebarkan jurang kelebihan 12 mata beliau kepada Hamilton jika berjaya menjuarai Grand Prix Mexico City minggu ini. Pastinya satu perlumbaan menarik yang bakal berlangsung awal pagi nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: