Permotoran

Acosta akui menangis di pusingan terakhir, “Saya tiada apa-apa tanpa pasukan ini”


Acosta pelumba muda yang semakin menjadi perhatian. Foto: MotoGP

Oleh: JJFIRDAUS

PELUMBA Red Bull KTM Ajo, Pedro Acosta muncul juara Kejuaraan Motosikal Dunia Kelas Moto3 sekaligus muncul ‘rookie’ pertama yang menjadi juara pada penampilan sulung.

Acosta berjaya memenangi Grand Prix Algarve di Portugal selepas pesaing terdekat, Dennis Foggia dilanggar oleh Darryn Binder pada pusingan terakhir perlumbaan 21 pusingan itu.

Dengan kemenangan itu, Acosta berjaya mengumpul 259 mata dan gagal dicabar mana-mana pelumba dengan kejohanan berbaki satu lagi pusingan di Grand Prix Valencia minggu hadapan.

Pelumba kelahiran Sepanyol yang berusia 17 tahun itu mula menyertai Moto3 pada awal musim 2021 dan berjaya mempamerkan tunggangan hebat dengan memenangi 6 perlumbaan dari 17 permulaan dan berjaya menaiki podium sebanyak lapan kali.

Bercakap mengenai perasaan selepas memenangi kejuaraan ini, Acosta berkata: “Saya rasa sungguh menakjubkan. Saya menangis pada pusingan terakhir dan ianya boleh dilihat menerusi siaran televisyen.

“Akhirnya saya terfikir tentang apa yang terjadi tahun lalu apabila saya kehilangan pasukan dan peluang untuk bertanding di sini. Tetapi Aki, KTM dan Red Bull muncul yang bukan sahaja memberikan saya pasukan tetapi juga keluarga.

“Saya tidak akan menjadi juara tanpa pasukan dan saya tiada apa-apa. Pasukan juga memahami situasi saya dalam semua perlumbaan sama ada yang baik ataupun yang buruk. Mereka tidak pernah hilang kepercayaan kepada saya dan kami menjuarai kejohanan ini bersama-sama,” ujarnya.

Dengan berbaki satu lagi perlumbaan, Acosta pastinya akan berlumba habis-habisan kerana kemenangan dapat memastikan KTM muncul juara pengeluar Moto3 mengatasi Honda untuk musim 2021.

Untuk musim 2022, Acosta bakal berlumba di kelas Moto2 dan dengan kejuaraan Moto3 ini pastinya akan memberikan lebih tekanan kepadanya untuk mengulangi pencapaian hebat bermusim ini.

Selain itu, acara utama MotoGP menyaksikan Francesco Bagnaia mendominasi Algarve sekaligus memberikan kejuaraan pengeluar kepada Ducati dalam perlumbaan yang dihentikan oleh bendera merah pada penghujung perlumbaan kerana kemalangan.

Kemalangan teruk melibatkan pelumba Tech3 Iker Lecuona dan pelumba KTM Miguel Oliveira di selekoh ke-13 ketika perlumbaan berbaki satu pusingan menyaksikan perlumbaan terpaksa dihentikan walaupun kedua-dua pelumba berada dalam keadaan baik.

Bagnaia mendahului keseluruhan perlumbaan 25 pusingan itu untuk kemenangan ketiga musim ini sekaligus mengesahkan kedudukan kedua kategori pelumba di belakang juara dunia baharu, Fabio Quartararo.

Francesco Bagnaia. Foto: AP

Sementara itu dalam perlumbaan Moto2 pula, pelumba Australia, Remy Gardner hanya memerlukan dua mata sahaja lagi untuk bergelar juara dunia kategori Moto2 selepas berjaya muncul juara di GP Algarve.

Berbaki satu perlumbaan di GP Valencia, dia hanya perlu menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 untuk bergelar juara tetapi pastinya Gardner inginkan kemenangan bagi menjamin kejuaraan.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin pula sekadar di tangga ke-18 walaupun bermula di petak ke-16 dalam perlumbaan 23 pusingan itu selepas kesilapan memilih tayar menjejaskan perlumbaan beliau.

Kejohanan MotoGP, Moto2 dan Moto3 musim 2021 akan melabuhkan tirainya minggu hadapan di Grand Prix Valencia dengan kejuaraan pelumba MotoGP dan Moto3 sudah ditentukan manakala Moto2 akan menabalkan juara dunia yang baharu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: