Permotoran

Penampilan terakhir Valentino Rossi di Valencia, ‘Ciao Doctor’!


Oleh: JJFIRDAUS

PELUMBA legenda MotoGP, Valentino Rossi bakal berlumba buat kali terakhir di GP Valencia hujung minggu ini selepas mengumumkan persaraannya sebelum ini.

Rossi akan mengakhiri karier gemilang selama 25 tahun dalam perlumbaan motosikal dunia dalam penampilan ke-431 yang menyaksikan dia bergelar juara dunia sebanyak sembilan kali.

Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Doctor’ ini mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia dan ramai yang berduka apabila Rossi mengambil keputusan untuk bersara pada penghujung musim ini.

Nombor 46 yang sinonim dengan Rossi yang sudah menggegar dunia permotoran sejak melakukan debut di Grand Prix Malaysia pada tahun 1996 dengan jentera Aprilia dan bersaing dalam kelas 125cc sebelum muncul juara dunia kelas itu pada tahun berikutnya.

Rossi bakal mengakhiri kariernya selepas 25 tahun.

Rossi kemudian beralih ke kelas 250cc juga dengan jentera Aprilia untuk musim 1998 dan sekali lagi berjaya muncul juara dunia 250cc juga pada tahun 1999 yang juga musim keduanya.

Kejayaan bergelar dua juara dunia dalam kelas yang berbeza melayakkan Rossi bertanding di kelas utama iaitu kelas 500cc pada tahun 2000 bersama jentera Honda dan berjaya muncul juara dunia pada tahun 2001.

Kelas 500cc kemudiannya dinaik taraf ke kelas MotoGP pada tahun 2002 dan Rossi berjaya muncul juara dua musim berturut-turut bersama Honda pada 2002 dan 2003 sebelum berpindah ke Yamaha untuk musim 2004.

Rossi meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya muncul juara dunia bersama Yamaha sebanyak empat kali iaitu untuk musim 2004, 2005, 2008 dan 2009 sebelum dilamar Ducati untuk musim 2011.

Sepanjang 25 tahun berlumba, Rossi menerima saingan hebat yang meninggalkan kenangan manis kepada setiap peminat sukan ini. Siapa tidak lupa aksinya bertarung bersama Sete Gibernau, Max Biaggi, Casey Stoner, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez.

Bercakap kepada media menjelang apa yang dikatakan sebagai ‘hujung minggu yang istimewa’ pelumba berusia 42 tahun itu berkata: “Valencia sentiasa menjadi hujung minggu yang istimewa dan akan menjadikan perlumbaan yang sukar dalam pelbagai aspek.”

“Bagaimanapun, ianya adalah tempat yang memberikan saya beberapa masa yang baik dan berharap cuaca yang baik supaya kami dapat menamatkan perlumbaan pada kedudukan 15 teratas dan mengutip beberapa mata lagi.

“Walaupun ianya akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP, saya berasa normal dan saya rasa ianyak baik kerana kami sudah melalui musim yang panjang tahun ini. Mungkin hari-hari selepas perlumbaan berakhir akan berlainan, tetapi saya akan tunggu dan lihat.

Rossi berharap dapat meninggalkan kariernya dengan baik kepada semua peminat.

“Saya juga berharap dapat mengucapkan ‘ciao’ kepada semua peminat saya dengan cara yang baik dan berterima kasih atas segala sokongan yang telah diberikan selama ini,” ujar Rossi.

Bermula tahun 2022, Rossi akan bertanding dalam perlumbaan empat roda yang masih belum dinyatakan dan bakal mempunyai pasukan MotoGP sendiri – Racing Team VR46 dengan dua pelumba Itali, Luca Marini dan Marco Bezzecchi menjadi taruhan Rossi.

Sementara itu, juara enam kali MotoGP Marc Marquez akan terlepas aksi terakhir Rossi di GP Valencia kerana masih belum pulih dari kecederaan mata yang menjejaskan jarak pandangnya.

Terima kasih Valentino Rossi. Terima kasih atas kenangan indah yang mewarnai dunia perlumbaan motosikal dan memberikan kegembiraan buat para penyokong anda. ‘Ciao Doctor’.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: