Permotoran

Hamilton atasi Verstappen – GP Brazil


Oleh : JJ FIRDAUS

PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton mendominasi sesi kelayakan dan bakal bermula pada petak utama untuk Perlumbaan Sprint Grand Prix Sao Paulo mengatasi pencabar terdekat Max Verstappen dan teman sepasukan, Valtteri Bottas.

Dengan adanya perlumbaan Sprint — perlumbaan ketiga musim ini, sesi kelayakan berlangsung pada Jumaat untuk menentukan grid perlumbaan 100km esok. Keputusan perlumbaan Sprint akan digunakan sebagai penentuan grid untuk perlumbaan utama pada Ahad.

Mendahului sejak sesi kelayakan pertama, Hamilton menggunakan kekuatan enjin baharu Mercedes beliau untuk mencatat masa 1minit 07.934 saat meninggalkan Verstappen 0.438 saat manakala Bottas ketiga kira-kira setengah saat dibelakang.

Bagaimanapun, Hamilton bakal dikenakan penalti 5 petak grid untuk perlumbaan utama selepas pasukan mengambil keputusan untuk menukar enjin beliau kepada enjin baharu.

Sergio Perez pulan mengisi petak keempat manakala Pierre Gasly sekali lagi mempamerkan pemanduan hebat untuk bermula di petak kelima dihadapan kedua-dua pelumba Ferrari, Carlos Sainz dan Charles Leclerc di tangga keenam dan ketujuh.

McLaren yang dipintas Ferrari dalam perebutan kejuaraan pengeluar sekali lagi hanya berada di belakang Ferrari dengan Lando Norris dan Daniel Ricciardo masing-masing bakal bermula di petak kelapan dan kesembilan.

Fernando Alonso melengkapkan 10 pelumba terpantas untuk perlumbaan Sprint yang bakal menyaksikan 24 pusingan tanpa hentian pit akan berlangsung dengan tiga mata menanti pemenang.

Esteban Ocon akan memulakan perlumbaan di petak ke-11 bersebelahan Sebastian Vettel di petak ke-12 manakala Yuki Tsunoda pula berjaya meletakkan jentera Alpha Tauri nya di tangga ke-13 manakala kedua-dua pemandu Alfa Romeo mengisi grid ke-14 dan ke-15.

Lance Stroll pula tersingkir pada sesi kelayakan pertama dan bakal bermula pada petak ke-16 manakala Nicolas Latifi ke-17 dengan George Russell ke-18. Duo Haas, Mick Schumacher dan Nikita Mazepin melengkapkan barisan terakhir di petak ke-19 dan ke-20.

“Hari ini adalah sesi kelayakan yang sangat baik, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami menerima penalti tetapi kami memberikan segalanya yang kami ada,” ujar Hamilton kepada media. Ianya sangat mengujakan kerana sudah lama saya tidak berjaya mendapat petak pertama, jadi ianya rasa seperti yang pertama.”

Perlumbaan Sprint Grand Prix Sao Paulo akan bermula pada jam 3 pagi Ahad waktu Malaysia. Mampukah Verstappen menghalang Hamilton di selekoh pertama, sama-sama kita saksikan.

Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Sao Paulo

1. Lewis Hamilton – Mercedes
2. Max Verstappen – Red Bull
3. Valtteri Bottas – Mercedes
4. Sergio Perez – Red Bull
5. Pierre Gasly – Alpha Tauri
6. Carlos Sainz – Ferrari
7. Charles Leclerc – Ferrari
8. Lando Norris – McLaren
9. Daniel Ricciardo – McLaren
10. Fernando Alonso – Alpine
11. Esteban Ocon – Alpine
12. Sebastian Vettel – Aston Martin
13. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
14. Kimi Raikkonen – Alfa Romeo
15. Antonio Giovinazzi – Alfa Romeo
16. Lance Stroll – Aston Martin
17. Nicolas Latifi – Williams
18. George Russell – Williams
19. Mick Schumacher – Haas
20. Nikita Mazepin – Haas


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: