Bola Sepak

‘BREAKING NEWS’: Skuad B-22 negara diarah sambung kuarantin, seorang pegawai positif Covid-19


Skuad B-22 Negara tiba di Kuala Lumpur 3 November lalu. Foto: FAM

HARAPAN pemain-pemain skuad Bawah 22 Tahun yang sepatutnya hari ini untuk kembali ke rumah masing-masing tidak kesampaian memandangkan mereka terpaksa menyambung tempoh kuarantin sehingga 14 November ini.

Pasukan muda negara serta barisan jurulatih dan pegawai tiba di ibu negara dari Ulaanbaatar, Mongolia Rabu lalu selepas transit di Incheon, Korea Selatan menjalani kuarantin wajib selama lima hari yang sepatutnya berakhir hari ini.

Skuad negara kembali ke tanah air dengan membawa berita gembira menjuarai saingan Kumpulan J Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dengan rekod cemerlang tanpa kalah dan bolos sekaligus layak ke aksi akhir Piala Asia B-23 Tahun di Uzbekistan pada Jun 2022.

Pasukan negara menjuarai saingan Kumpulan J pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Bagaimanapun, ‘malang tidak berbau’ apabila difahamkan salah seorang pegawai pasukan positif Covid-19 sekaligus memaksa tempoh kuarantin disambung sehingga minggu depan.

Menurut sumber, sehingga setakat ini, semua ujian adalah negatif kecuali seorang saja dari pasukan.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan mengambilnya untuk ke hospital bagi pemeriksaan selanjut.

“Kami harap anda semua sabar dan mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan. Kami sentiasa meletakkan keutamaan kesihatan para pemain.”

Cakap Sukan berharap semoga pegawai yang positif Covid-19 tersebut cepat sembuh, dan semua pemain terus berada dalam keadaan yang baik.

Untuk makluman pihak Cakap Sukan cuba menghubungi Datuk Posa Majais selaku Pengurus pasukan untuk mendapatkan pengesahan, namun gagal.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: