Bola Sepak

Terengganu FC sah juara Kumpulan B


Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

TERENGGANU FC mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan B selepas menewaskan Selangor FC, 3-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Tiga mata yang diraih skuad bimbingan Nafuzi Zain ini terus mengekalkan rekod tanpa kalah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas berakhirnya lima perlawanan.

Kecundang 1-2 pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu sebelum ini, tuan rumah menampilkan aksi bertenaga sebaik sahaja wisel perlawanan ditiupkan pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahad.

Selangor FC tidak menunggu lama untuk menguji penjaga gawang pelawat, Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-9 menerusi rembatan kencang, Syahmi Safari yang berjaya ditepis Suhaimi.

Keghairahan Merah Kuning melancarkan serangan membawa pada apabila Terengganu FC berada didepan hasil jaringan Faisal Halim selang lima minit kemudian.

Gol berpunca dari serangan balas dijelmakan Habib Haroon yang melorongkan bola dari bahagian tengah kepada Engku Muhammad Nur Shakir sebelum penyerang berkenaan melakukan rembatan deras yang ditepis Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Namun kegagalan Khairulazhan menangkap kemas bola terbabit memberikan peluang buat Faisal Halim yang berada dalam kedudukan terbaik melakukan rembatan terus menerjah gawang gol tuan rumah.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat Selangor FC yang terus melancarkan serangan memburu gol penyamaan namun benteng pelawat yang diterajui ketua pasukan Argzim Redzovic, Shahrul Nizam, Muhammad Azarul dan Arif Fadzilah kental menahan asakan.

Terengganu FC hampir berpeluang melebarkan jurang jaringan pada minit ke 43 namun sepakan percuma Jordan Mintah dari luar kotak penalti sedikit tersasar selain tandukan lemah ketua pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakhiri babak pertama dengan kelebihans atu gol memihak pelawat.

Menyedari ketumpulan jentera serangan, pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi pada separuh masa kedua menggantikan George Tetteh dan percubaan pertamanya hampir berjaya mengegarkan gawang pelawat namun tiang menjadi penghalang.

Selang dua minit kemudian, Mintah berpeluang mencetak nama selaku penjaring gol namun sepakan lemahnya ketika hanya berdepan Khairulazhan gagal menewaskan penjaga gol kebangsaan itu.

Shahrel Fikri sekali lagi hampir menghadiahkan kegembiraan penyokong tuan rumah menerusi sepakan percuma pada minit ke 55 namun sekali lagi mengegarkan palang gol pelawat ketika Suhaimi sudah pun tertewas.

Selangor FC seharusnya mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-61 namun Nik Muhammad Sharif yang memiliki peluang selepas mendapat hantaran lintang Hein Htet Aung melakukan rembatan liar jauh melewati palang gol pelawat.

Gol penyamaan yang dicari Selangor FC hampir muncul jika tidak kerana ketangkasan Suhaimi yang bertindak cemerlang menafikan rembatan Shahrel Fikri pada minit ke-68.

Jaringan pada separuh masa kedua yang dinantikan akhirnya tiba dan menjadi milik Terengganu FC menerusi sepakan percuma Jordan Mintah yang berjaya menewaskan Khairulazhan pada minit ke 71.

Usaha berterusan tuan rumah memburu gol pertama akhirnya terhasil menerusi penjaring terbanyak Liga Super 2019, Shahrel Fikri pada minit ke 82 untuk merapatkan jurang namun Mintah sekali lagi mencetakkan nama selaku penjaring menerusi sepakan percuma pada minit ke 88 untuk gol ketiga pelawat.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: