Bola Sepak

Sabah FC raih kemenangan sulung


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SABAH FC meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia 2021 apabila berjaya menewaskan Kelantan FC, 2-1  pada aksi kelima Kumpulan D, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Pemain gantian tuan rumah, Shahrizan Saidin yang masuk pada lima minit terakhir babak kedua membuktikan keputusan pengendalinya Datuk Ong Kim Swee tepat apabila dia meledak gol kemenangan buat pasukan.

Turun dengan memburu kemenangan pertama buat kedua-dua pasukan, corak serangan dipamerkan sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan pengadil perlawanan.

Pelawat terlebih dahulu berada didepan seawal minit ke-5 jaringan Che Safwan Hazman yang melakukan rembatan dari jauh untuk menewaskan penjaga gawang Sabah FC,  Rozaimie Rohim.

Kegembiraan Kelantan FC bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain berpengalaman tuan rumah, Mohd Amri Yahya menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Kedudukan 1-1 nyata menghangatkan corak permainan kedua pasukan yang berjaya mengatur gerakan membelah pertahanan namun tiada sebarang pertambahan gol dijaringkan selepas itu untuk pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri 1-1.

Memasuki babak kedua, Sabah dan Kelantan terus mempamerkan aksi menarik menerusi beberapa percubaan namun ketumpulan jentera serangan dan ketangkasan penjaga gawang menafikan impian kedua pasukan.

Sabah FC memiliki peluang berada didepan pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Risto Mitrevski namun Mohd Faridzuean Kamaruddin tangkas menepis untuk menyelamatkan gawangnya.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, pemain gantian Sabah FC, Shahrizan Saidin memastikan tiga mata mutlak buat pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pada masa tambahan separuh masa kedua.

Kemenangan yang diraih Sabah FC memastikan peluang untuk merebut slot ke suku akhir masih terbuka selepas mengutip lima mata dan bakal membuat perhitungan terakhir menentang Petaling Jaya City pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: