Bola Sepak

KUFC ada misi calar reputasi KDA FC


KUFC sedia mengakhiri saingan Piala Malaysia dengan keputusan positif apabila berdepan KDA FC, di Kota Bharu, Sabtu ini.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PELUANG Kelantan United FC melangkah ke pusingan suku akhir sudah pun tertutup namun mereka tetap mempunyai azam untuk mengakhiri saingan dengan kemenangan sulung ke atas Kedah Darul Aman (FC).

Kecundang 0-3 pada pusingan pertama di Alor Setar pada 27 September lalu, anak didik Nazrulerwan bakal menanti kunjungan Lang Merah di Kota Bharu pada 6 November nanti.

“Saya harapkan untuk aksi terakhir nanti, tiada laluan mudah untuk Kedah sebab bagi saya, kita mahu akhiri Piala Malaysia ini dengan keputusan positif dan nak kutip tiga mata juga di laman sendiri,” tegas Nazrulerwan.

Mengulas keputusan seri 3-3 ketika berdepan Melaka United FC yang seterusnya menutup peluang dalam saingan kali ini, tetap berbangga dengan barisan pemain walaupun sekadar meraih satu mata selepas empat perlawanan peringkat kumpulan ketika ini.

Baginya, ini adalah aksi terbaik yang telah dilakukan oleh pasukan untuk memberi tentangan hebat kepada Melaka meskipun mereka sedar peluang yang sudah hampir terkubur untuk mara ke suku akhir.

“Pertama sekali, Alhamdulillah walaupun kita tidak menang, tapi dapat satu mata di laman sendiri sudah cukup dan apa yang membezakan kita dan Melaka adalah pengalaman.

“Saya tidak kecewa, saya beri pujian kepada semua pemain yang beraksi malam ini (Isnin) sebab mereka sudah menunjukkan persembahan yang baik dan mengeluarkan segala kudrat yang ada, jadi tahniah saya ucapkan,” ujarnya.

Keputusan seri itu meletakkan Melaka masih kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata selepas empat perlawanan manakala Kedah Darul Aman FC di kedudukan kedua dengan enam mata ketika ini sekali gus menyaksikan pertarungan sengit untuk dua pasukan ini bagi merebut juara kumpulan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: