
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) terus memastikan hubungan erat demi kepentingan bola sepak negara.
Presiden badan induk bola sepak negara ini, Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan FAM dan PFAM perlu teruskan kerjasama yang baik dan berkomunikasi secara telus dalam sama-sama memikirkan kaedah menyelesaikan isu bola sepak bersama.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi perbincangan bersama PFAM membabitkan isu semasa bola sepak tanah air terutama dalam mengeratkan persefahaman kedua belah pihak pada Rabu.
Antara lain turut dibincangkan ialah isu tunggakan gaji pemain yang semakin menurun tetapi masih ada menghimpit beberapa pasukan, isu membabitkan cukai pendapatan pemain dan cadangan atau kaedah jika melaksanakan tangga gaji siling.

“FAM dan PFAM sentiasa memandang serius isu tunggakan gaji, diingatkan kelab untuk berbelanja mengikut bajet dan kemampuan kadar kewangan agar masalah ini tidak lagi membelenggu dunia bola sepak negara.
“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan lagi cara serta perfahaman pengurusan penswastaan kelab di mana ia penting untuk pembangunan pemain serta bola sepak secara keseluruhan.
“Secara kesimpulan, kerjasama erat amat penting antara FAM dan PFAM untuk kedua organisasi ini memikirkan kepentingan bersama antara kelab dan pemain demi kemajuan bola sepak negara,” jelas Hamidin.

Hadir sama dalam perbincangan ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama Datuk S. Sivasundaram; Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Manakala PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali, Timbalan Presiden, Shahrom Kalam; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Izham Ismail, Setiausaha Razman Roslan dan Eksekutif Perundangan PFAM, Azzairi Rosle.
Add Comment