Bola Sepak

‘Underdog’ KL City FC catat rekod baharu tanpa kalah di laman sendiri


Oleh: JJFIRDAUS

DIANGGAP pasukan ‘underdog’, Kuala Lumpur City FC melakar sejarah baharu buat kelab apabila berjaya memecahkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas membelasah Sarawak United 4-0 dalam aksi Piala Malaysia Sabtu lalu.

Dengan kemenangan bergaya itu, Kuala Lumpur kini tidak tewas dalam 18 perlawanan di Stadium KLFA dalam semua pertandingan yang disertai sekaligus memecah rekod yang dicipta pada musim 1987/1988.

Ketika itu, Kuala Lumpur adalah kuasa besar bola sepak tempatan berjaya mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah dengan perlawanan ketika itu berlangsung di Stadium Merdeka.

Dari 18 perlawanan ini, KL City berjaya meraih 14 kemenangan dan empat keputusan seri bermula dari perlawanan Challenge Cup pada 12 September 2019 hingga perlawanan terbaharu pada 30 Oktober 2021.

KL City juga muncul pasukan tunggal yang tidak tewas di laman sendiri dalam saingan Liga Super musim 2021 apabila berjaya mencatat tujuh kemenangan dan empat keputusan seri.

Bojan Hodak antara watak penting dalam membawa KL City melebar rekod tersendiri musim ini. Foto: KL City FC

Pada musim 1987/88 pula Kuala Lumpur berjaya memenangi 12 perlawanan di Stadium Merdeka manakala seri sebanyak lima kali bermula Julai 1987 hingga September 1988.

Rekod baharu ini mungkin boleh diteruskan jika KL City mampu menewaskan Penang FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia dan akan berterusan jika mereka layak ke peringkat suku akhir.

Selain dari berjaya mencipta rekod baharu, KL City juga kini cemerlang menerajui takhta Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri ketika bertemu Penang FC di Pulau Pinang.

Lebih manis, pemain antarabangsa Romel Morales kini mendahului senarai penjaring terbanyak kempen Piala Malaysia dengan lima gol dari tiga perlawanan.

Tahniah KL City FC. Perubahan yang dilakukan kelab ini pada awal musim sudah mula menunjukkan hasil dan para penyokong setia juga sudah kembali ke stadium untuk menyokong kelab kesayangan mereka.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: