Bola Sepak

Debut Shahrul Saad dapat sorakan gemuruh, JDT benam Sabah FC 3-0


Oleh: JJFIRDAUS

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mudah mengatasi Sabah FC 3-0 dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sekaligus layak ke peringkat suku akhir.

Bergson Da Silva kembali mengetuai jentera serangan JDT manakala Adam Nor Azlin bermula sebagai bek tengah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mauricio kerana kecederaan.

Aksi kemas dan mantap yang ditampilkan JDT gagal disaingi barisan Datuk Ong Kim Swee sekaligus menggembirakan lebih 8,000 penyokong yang kembali hadir ke stadium selepas dibenarkan pihak berwajib.

Aksi pemain JDT dan Sabah FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. Foto: JDT

JDT tidak menunggu lama untuk mendahului apabila Leandro Velazquez merembas deras gol pembukaan selepas menerima hantaran Bergson Da Silva pada minit keenam perlawanan.

Sabah sesekali cuba mengancam kubu JDT dengan peluang terbaik hadir menerusi Amri Yahyah yang cuba memerangkap Farizal Marlias yang sudah terkeluar dari posisi namun tersasar.

Bergson Da Silva menggandakan kelebihan JDT apabila mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-34 selepas hantaran lintang Corbin Ong terkena tangan pemain pertahanan Sabah dalam kotak penalti.

Bergson menyempurnakan sepakan penalti. Foto: JDT

Serangan demi serangan dilancarkan JDT namun gagal menepati sasaran untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 2-0.

Bermula separuh masa kedua, JDT tanpa membuang masa melancarkan serangan dan hampir menambah jaringan tetapi sepakan percuma Leandro sekadar menggegar palang gol Sabah.

Pemain-pemain muda Sabah jelas tertekan dan hanya mampu menahan asakan JDT yang dilihat menguasai sepenuhnya permainan dengan tiada langsung percubaan untuk menguji penjaga gol JDT.

JDT dihadiahkan satu lagi sepakan penalti tetapi Safawi Rasid gagal menyempurnakan penalti pada minit-minit terakhir apabila sepakan lemah beliau berjaya ditangkap penjaga gol lawan.

Namun begitu, kekecewaan itu terubat apabila Bergson menambah jaringan ketiga buat JDT dan gol kedua peribadinya malam ini.

JDT berjaya menumpaskan Sabah FC dengan jaringan tiga gol. Foto: JDT

Shahrul Saad membuat debut bersama JDT apabila dia dimasukkan pada akhir perlawanan yang mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penyokong.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat permainan untuk JDT kekal di tangga teratas dengan 12 mata dan sah bergelar juara Kumpulan D dengan berbaki dua lagi perlawanan.

Manakala Sabah FC kekal di tangga terbawah dengan dua mata dari empat perlawanan tetapi masih berpeluang untuk layak sebagai naib juara jika berjaya memenangi dua perlawanan terakhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: