
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PETALING Jaya City FC (PJFC) membawa pulang satu mata berharga dari Kota Bharu selepas berjaya mengikat Kelantan FC dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia 2021, sebentar tadi.
Keputusan ini mencerahkan laluan The Phoenix untuk ke pusingan suku akhir walaupun masih belum sah sepenuhnya dengan baki dua perlawanan namun sekurang-kurangnya ia memastikan kemenangan dilaman sendiri 3-1 ke atas lawan yang sama Jumaat lalu berjaya dipertahankan.
Bagi Kelantan FC pula satu mata dilaman sendiri ini meletakkan mereka ditangga ketiga kumpulan dengan dua mata berkongsi kedudukan dengan Sabah FC yang tewas 0-3 kepada JDT di Iskabndar Puteri, malam ini.
Pada aksi yang berlangsung sebentar tadi, walaupun kedua-dua pasukan mempamerkan corak serangan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan sepanjang 45 minit babak pertama.
Babak kedua mempamerkan sedikit aksi berbeza apabila Kelantan FC memiliki peluang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, Christos namun dinafikan Kalamullah Al Hafiz yang cemerlang mengawal gawang pelawat.
Percubaan menarik pemain gantian Sunnil Chandarn pada minit ke 87 hampir meletakkan pelawat didepan namun penjaga gawang Kelantan FC, Mohamad Faridzuean cemerlang melayangkan tubuh untuk menepis percubaan tersebut.
Selang dua minit kemudian giliran pemain gantian Kelantan FC, Shahir yang melakukan rembatan deras menuju tepat ke gawang namun terkena balang ketika Kalamullah sudah pun tertewas.
Walaupun kedua pasukan terus melancarkan serangan pada baki masa tambahan, keputusan 0-0 kekal sehinggalah tamat perlawanan.






Add Comment