Bola Sepak Komentar

Kebangkitan penyerang muda mampu bantu Cheng Hoe buat pilihan


Aksi pemain-pemain muda tampil dengan corak permainan yang berani melakukan serangan.

Oleh: JJFIRDAUS

BERAKHIR sudah pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun yang menyaksikan skuad negara menempah slot ke final di Uzbekistan Jun tahun hadapan.

Apa yang menarik, aksi beberapa pemain muda di bahagian serangan Skuad Bawah B-22 kebangsaan ini sudah pasti menjadi platform untuk diangkat ke skuad senior, iaitu Harimau Malaya yang sering mengalami masalah ketandusan penyerang berbisa setiap kali menghadapi perlawanan antarabangsa ekoran kekurangan minit permainan di kelab masing-masing.

Majoriti kelab di Liga Super mahupun Liga Premier menggunakan pemain penyerang antarabangsa kerana dikatakan lebih prolifik dan mempunyai daya tarikan kepada para penyokong.

Ironinya, banyak kelab sanggup berbelanja besar demi mendapatkan khidmat pemain penyerang antarabangsa dan ada yang terpaksa melakukan perubahan akibat dari kegagalan pemain itu melaksanakan tugas dengan baik dan tidak menepati KPI yang ditetapkan.

Isu ini bukan baharu tetapi kancah kempen Piala Malaysia ini seakan-akan memberikan sinar kepada skuad kebangsaan terutama di bahagian serangan apabila penyerang-penyerang tempatan mula menunjukkan kebangkitan.

Hazwan sudah mula menemui sentuhannya. Foto: JDT

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Hazwan Bakri sudah menemui semula sentuhan jaringan beliau ketika JDT bertemu Sabah dan sudah seringkali diturunkan sebagai kesebelasan utama oleh jurulatih Benjamin Mora.

Bukan mudah untuk mengisi posisi yang biasanya menjadi milik Bergson Da Silva tetapi Hazwan menunjukkan kualitinya dengan ‘work rate’ yang tinggi dan ketajaman beliau di depan gawang masih teserlah.

Selain Hazwan, kembalinya Shahrel Fikri dalam skuad Selangor ketika bertemu Kuching City FC dilihat petanda positif buat ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe dalam membuat pemilihan pemain di bahagian serangan.

Walaupun hanya beraksi 20 minit, Shahrel berjaya menghukum barisan pertahanan lawan dengan larian tanpa bola yang mengelirukan dan hampir menjaringkan gol di minit-minit akhir perlawanan.

Selain itu, Darren Lok juga dilihat semakin mendapat keyakinan yang tinggi setelah berjaya menjaringkan tiga gol setakat ini buat PJ City dalam Piala Malaysia.

Aksi Darren bersama pemain-pemain tempatan yang lain di PJ City sangat menarik dan ini membuktikan pemain tempatan juga mampu untuk menyerlah jika diberikan peluang bermain yang mencukupi.

Selain tiga nama diatas,  Cheng Hoe juga boleh menilai kemampuan pemain Sri Pahang, Malik Mat Arif yang juga dilihat mampu memberikan sokongan tambahan kepada penyerang sedia ada.

Beberapa pemain muda negara juga seperti Danial Asri dan Hakimi Abdullah juga boleh dipanggil menyertai skuad kebangsaan kerana mereka terbukti bagus ketika bersama kelab masing-masing di Liga Super.

Tan Cheng Hoe

Kebangkitan mendadak penyerang-penyerang tempatan ini pastinya sangat tepat menjelang Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal berlangsung di Singapura pada penghujung tahun nanti.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara adalah pada 2010 dan muncul naib juara pada edisi terakhir yang berlangsung pada 2018 sebelum dihentikan ekoran penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Kini dengan gandingan barisan pemain yang baharu dan lama, Malaysia pastinya mampu melangkah jauh dalam kejohanan serantau dwi-tahunan ini dan tidak mustahil muncul juara keseluruhan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: