Bola Sepak

Harga tiket ‘tak masuk akal’ RM120 rupanya ada ‘rahsia’ dari Penang FC


Oleh: JJFIRDAUS

SEGELINTIR penyokong Penang FC di media sosial agak terkejut dengan mengumumkan harga tiket oleh kelab pada Jumaat menjelang perlawanan menentang Sri Pahang pada 3 November di Stadium Bandaraya.

Apa yang mencuri tumpuan adalah harga tiket Grandstand Utama dijual pada harga RM120 seorang.

Ramai yang melenting dan mempersoalkan tindakan pengurusan Penang FC yang dikatakan menjual tiket pada harga yang tidak masuk akal.

Namun  segalanya terjawab hari ini apabila laman rasmi Penang FC mengumumkan bahawa pembeli tiket RM120 itu akan turut sama menerima sehelai kameja-T #orangkita bernilai RM89.90.

 

Ini bermakna tiket masuk ke grandstand hanyalah bernilai kira-kira RM30 iaitu sama dengan harga kebanyakan tiket grandstand di mana-mana stadium di seluruh negara.

Apa yang menarik pakej ini hanya terhad kepada 200 orang penyokong sahaja dan ini sebenarnya adalah salah satu langkah bagaimana kelab mampu menambah pendapatan ketika hari perlawanan.

Setelah beraksi tanpa penyokong hampir setahun, inilah masanya para penyokong menunjukkan sokongan kepada kelab dan secara tidak langsung kelab mampu menjana pendapatan yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak baik pengurusan mahupun penyokong.

Perkara ini bukanlah baharu kerana sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menjual tiket berdasarkan zon berbeza yang mempunyai pemandangan lebih baik dan di datangkan dengan pelbagai cenderahati daripada badan induk bola sepak negara ini.

Tidak dinafikan terdapat juga penyokong-penyokong  yang sanggup berbelanja besar demi keselesaan sekaligus membantu perbelanjaan kelab. Konsep ini sama seperti pas bermusim yang kini semakin mendapat tempat di kalangan para penyokong yang setia.

Penang FC bakal melayan kunjungan Sri Pahang 3 November ini. Foto: PenangFC

Tanpa kita sedari, RM24,000 mampu dijana Penang FC jika kesemua 200 tempat duduk Grandstand Utama ini berjaya dijual dan akan ada 200 penyokong Penang FC yang boleh bergaya dengan ole-ole baharu kelab.

Tahniah Penang FC atas inisiatif ini. Perkara yang nampak lain dari yang lain ini pastinya akan dipandang sinis pada peringkat awal tetapi ianya akan menjadi normal dan ianya akan menjadi ‘on demand’ selepas ini.

Sudah sampai masanya penyokong bola sepak tempatan hadir ke stadium dalam keadaan bergaya kerana tempat duduk sudah dijamin dan menonton bola sepak dalam keadaan yang selesa berbanding sebelum ini yang sentiasa bersesak dan merimaskan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: