
Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
PETALING Jaya City FC melonjak dikedudukan tangga kedua Kumpulan D selepas berjaya menewaskan Kelantan FC , 3-1 pada aksi Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Selepas hampir sebulan saingan Piala Malaysia berehat, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail.
The Phoenix tidak menunggu lama untuk berada didepan menerusi penjaring utama mereka, Darren Lok yang bijak memperdayakan pertahanan pelawat sebelum melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gawang Kelantan FC, Mohd Farizal Harun pada minit ke-9.
Selang 10 minit kemudian gol kedua terus menjadi milik PJ City FC dan kali ini dihasilkan R Kogileswaran yang menyudahkan hantaran lintang Khyril Muhymeen Zambri untuk tuan rumah mengatasi pelawat 2-0.
Ketinggalan dua gol nyata tidak mematahkan semangat pelawat yang mula mengatur gerakan memburu gol dan mereka seharusnya mampu merapatkan jurang pada minit ke-27 menerusi Syed Sobri Syed Mohd.
Namun tindakan pemain tengah Kelantan FC itu yang cuba memperdayakan ketika hanya berdepan dengan penjaga gawang PJ City FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi tidak berhasil apabila sepakan lemahnya mudah dipatahkan.
Usaha berterusan pelawat memburu gol pertama akhirnya terhasil menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti yang dijaringkan pertahanan import, Christos Intzidis pada minit ke 35.
Memasuki babak kedua, corak permainan sedikit membosankan apabila tidak banyak gerakan menarik dipamerkan dengan bola banyak berlegar dikawasan tengah padang selain gerakan yang berjaya dipatahkan pertahanan.
Penyerang berbisa tuan rumah, Darren Lok terus membuktikan reputasinya apabila menjaringkan gol ketiga pasukan dan kedua peribadi pada minit ke-80.
Walaupun Kelantan FC cuba mendapatkan gol namun pertahanan tuan rumah kental mengekang asakan sehinggalah perlawanan ditamatkan dengan PJ City FC mengatasi Kelantan FC, 3-1.
Tiga mata diraih tuan rumah memastikan mereka mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Selepas ini kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada perlawanan keempat peringkat kumpulan dengan Kelantan FC menjadi tuan rumah pada 2 November nanti.
Add Comment