Bola Sepak

Sabah FC longlai di laman sendiri, JDT selesa kumpul 9 mata


Oleh: JJFIRDAUS

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan teratas Kumpulan D selepas berjaya menewaskan Sabah FC 2-0 dalam pertemuan TM Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang menyaksikan kehadiran semula penyokong ke stadium.

JDT turun tanpa ayam tambatan, Bergson Da Silva dan digantikan oleh bekas penyerang kebangsaan Hazwan Bakri yang berjaya membuktikan kemampuannya menjaringkan gol  seawal minit keempat permainan.

Kesilapan Nazirul Naim yang membuat hantaran kebelakang disambar Hazwan sebelum menewaskan penjaga gol dan mudah menolak bola ke gawang terbuka untuk memberi kelebihan buat JDT.

Gol itu seakan memberikan semangat luar biasa kepada JDT yang terus mengasak manakala pemain-pemain Sabah kelihatan gugup dan sering terlepas kawalan hingga mengundang bahaya kepada benteng.

Gonzalo Cabrera menambah derita Sabah FC apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-13 sekali lagi menerusi kesilapan barisan pertahanan yang gagal mengumpan dengan tepat.

Cabrera mencuri bola hantaran Randy Baruh sebelum membuat larian deras ke kotak penalti Sabah dan menghantar kepada Leandro yang tenang menyungkit bola semula kepada Cabrera untuk satu ‘tap in’ yang mudah untuk JDT mendahului 2-0.

JDT kini selesa dengan sembilan mata. Foto: JDT

Sabah FC cuba menyerap tekanan dan hampir mendapat gol pertama dengan percubaan N.Thanabalan pada minit ke-16 berjaya menggegarkan palang JDT ketika Farizal Marlias sudah tertewas.

Separuh masa kedua masih menjadi milik JDT yang menguasai keseluruhan permainan ditambah dengan kemasukan Safawi Rasid yang banyak mengatur gerak menarik bersama Arif Aiman di sebelah kanan.

 

Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee melakukan beberapa pertukaran dengan membawa masuk Bobby Gonzalez untuk menajamkan lagi barisan serangan tetapi pertahanan JDT tenang mengawal benteng.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat permainan dan JDT kini berjaya mengumpul 9 mata maksimum manakala Sabah di tangga ketiga kekal dengan dua mata dari tiga perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula untuk perlawanan keempat kumpulan pada  2 November ini di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan ‘sebelah kaki’ JDT kini sudah bersedia ke saingan suku akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: