Bola Sepak Komentar

Harap tiada mentaliti ‘nak seri’ berdepan dengan Thailand!


Pasukan B-22 bakal berdepan dengan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan J esok. Foto: FAM

Oleh: JJFIRDAUS

SUKA atau tidak, tiga mata adalah satu-satunya pilihan buat skuad B22 negara menjelang pertemuan dengan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia Bawah-23 pada Ahad ini.

Walaupun mampu layak secara automatik selaku juara kumpulan dengan hanya keputusan seri, tetapi penyokong Malaysia sudah masak dengan kegagalan akibat dari sikap sekadar mahu seri ini.

Sudah banyak kali skuad Harimau Malaya tidak kira apa pun peringkat umur, kita sering tersangkut di halangan terakhir kerana sikap mudah puas hati dan berasa sudah layak.

Akhirnya semua kempunan dan penyokong sekadar dapat melihat negara tetangga layak ke peringkat akhir dan kita terus menangisi kegagalan dan terus menerus berkata tentang “KALAU lah kita menang tempoh hari“.

Matematiknya mudah. Menang, tiga mata dan kita layak ke Uzbekistan sekaligus mengulangi pencapaian tahun 2018 yang mana skuad muda negara beraksi cemerlang hingga melepasi peringkat kumpulan.

Tetapi lawan kita bukan calang- calang pasukan. Thailand skuad negara jiran kita ini sering kali melakar keputusan duka buat Malaysia tanpa mengira peringkat umur.

Ditambah pula dengan bonus jutaan Baht yang pastinya dijanjikan pengurusan pasukan Thailand yang sudah pun bergembira dengan bonus yang diperolehi ketika membenam satu lagi pasukan Asean, Laos tempoh hari.

Worrawoot Srimaka

Pengendali skuad gajah perang, Worrawoot Srimaka adalah seorang legenda hidup bola sepak Thailand dan pernah beraksi di Liga Malaysia bersama skuad Kelantan pada 2005 pastinya mahukan kejayaan layak ke Uzbekistan dengan menghantar Malaysia pulang lebih awal.

Buat barisan negara, anda harus beraksi dengan tenang, patuhi arahan jurulatih dan kurangkan kesilapan. Segala peluang yang diperolehi harus diterjemahkan kepada gol kerana keputusan 1-0 sangat merbahaya.

Thailand pastinya akan memberikan saingan yang lebih sengit jika dibandingkan dengan Laos dan Mongolia. Pastinya satu pertembungan menarik akan disaksikan kerana apa yang menanti pemenang boleh dikira sebagai ‘grand prize’ buat kedua-dua pasukan.

Mari kita sama-sama luangkan pagi hari minggu dengan menyokong skuad kendalian Brad Maloney ini. Saksikan perlawanan yang akan disiarkan secara langsung di televisyen pada jam 11 pagi.

Ayuh Harimau Malaya. Bawa kami ke Uzbekistan!


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: